TEKA-TEKI mengenai status ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain akhirnya terjawab pada Selasa selepas pengurusan kelab Pantai Timur tersebut mendedahkan jurulatih berusia 44 tahun itu menolak tawaran yang diberikan pada Oktober lepas.
Nafuzi sebelum ini difahamkan menerima tawaran beberapa kelab Liga Malaysia terutama Kedah Darul Aman (KDA) FC yang tidak mempunyai pengendali sejak pemecatan Aidil Sharin Sahak September lalu.
Andainya jurulatih kelahiran Kelantan itu benar-benar mengemudi skuad Sang Kenari, sudah tentu berita tersebut menggembirakan ramai pihak terutamanya penyokong yang meletakkan harapan agar Nafuzi dapat memulihkan prestasi 'yoyo' pasukan berkenaan musim ini.
Ini berikutan kredibiliti Nafuzi yang banyak mengubah corak dan permainan TFC antara lain dengan menerapkan falsafah bola sepak moden hingga mewujudkan identiti bola sepak tersendiri buat skuad Sang Penyu.
Pemerhati sukan, Bvrd Ortega berpendapat penyokong Kedah tidak boleh menaruh harapan terlalu tinggi untuk menyaksikan satu perubahan ketara dalam pasukan menerusi kemasukan Nafuzi yang terkenal dengan taktikal Nafuziball.
"Kalau nanti Nafuzi dah confirm sign dengan Kedah, aku harap yang penyokong kat sini (Kedah) dapat bersabar la sebab Nafuzi ni bukan jenis coach yang hang (anda) boleh harapkan instant result daripada dia.
"TFC pun ambil masa yang lama untuk jadi sedap macam tu. Jadi lepas ni fans Kedah dah boleh la guna hashtag trust the process," katanya dalam satu hantaran di Facebook Analisis Tangga Ayam.
Faisal Halim (kanan) antara bintang TFC yang digilap oleh Nafuzi. — Facebook
Untuk rekod, sejak Nafuzi mengendalikan TFC dari 2019, peningkatan demi peningkatan dari segi prestasi dapat dilihat dalam pasukan tersebut.
Jurulatih yang tercalon dalam kategori Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu juga sudah melahirkan ramai pemain berbakat antaranya Faisal Halim, Azam Azmi, Faiz Nasir dan Nik Sharif Haseefy.
Sementara itu, mengulas mengenai kontroversi antara Nafuzi dan pasukan Kedah, Bvrd Ortega berpendapat, persetujuan secara verbal (lisan) antara kedua-dua pihak dilihat biasa memandangkan menjadi lumrah dalam bola sepak untuk memberi persetujuan secara sedemikian.
"Bab kontroversi di antara Kedah dan Nafuzi ni, yang Nafuzi tu cuma verbal agreement saja kan? Rasanya banyak pasukan lain pun buat benda yang sama sebelum ni.
"(Contohnya), Liridon Krasniqi dulu pun cuma verbal agreement juga dengan Pahang dan last sekali kena sambar (dengan pasukan lain) masa transit di Dubai...tu yang buatkan Pablo Dollah (Datuk Dollah Salleh) panas sebab tiket flight semua Pahang dah bagi.
"Rizal Ghazali dulu pun semasa era Tan Cheng Hoe, pernah sign memorandum persefahaman dengan Felda United, endup dia u-turn ke Kedah semula," katanya.
Nafuzi dirasakan berhak menerima layanan lebih baik daripada pengurusan TFC — Facebook
Tambahnya, dalam situasi Nafuzi yang kontraknya bersama TFC pada musim ini hampir tamat, sudah tentu jurulatih tersebut menjadi rebutan banyak kelab lagi-lagi jika pihak pengurusan tidak memberi bayangan sama ada mahu melanjutkan kontrak atau tidak.
"Nafuzi ni dah nak penghujung kontrak dah dia dengan TFC kan, jadi tiada masalah kalau dia ada bersembang dengan pasukan lain yang berminat dengan dia kan?
"Ya lah kalau TFC sendiri pun tak nyatakan minat mereka secara serius, tiba-tiba hujung musim tak nak sambung kontrak dia, nanti susah pula... so better dia standby awal kan.
"Atau ke dia dah sign kontrak yang betul-betul? Rasanya takkanlah macam tu, mustahil kot," ujarnya.
Sebelum ini, Nafuzi menerima kritikan selepas membuat satu kenyataan awam mengenai status kontraknya dengan mengatakan pihak pengurusan tidak mengadakan satu rundingan rasmi mengenai masa depan kelab.
Selain itu, dia berkata, surat tawaran lanjutan kontrak tidak diberikan kepadanya secara bersemuka serta menggunakan 'kitman' sebagai pengantara kedua-dua pihak.
Begitupun, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyokong tindakan Nafuzi dan menyifatkan pihak pengurusan TFC sepatutnya lebih peka dengan protokol dan perlu menghargai tugas ketua jurulatih menerusi rasa hormat dan tawaran.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu dilaporkan berkata, Nafuzi berhak menerima layanan lebih baik, apatah lagi selepas membimbing skuad Sang Penyu ke separuh akhir Piala Malaysia serta muncul sebagai naib juara Piala FA dan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram