SELEPAS segala kontroversi yang terpalit dengan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, pengendali berkenaan disahkan enggan menyambung kontaknya bersama pasukan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh berkata, jurulatih berusia 44 tahun itu menolak tawaran lanjutan kontrak tersebut menerusi surat balas yang diserahkan pada Isnin.
Bagaimanapun, Nafuzi tidak akan direhatkan sebaliknya akan menamatkan saingan Piala Malaysia yang berbaki tiga perlawanan lagi jika skuad itu mara ke pentas final musim ini.
Berita berkenaan sememangnya membuatkan para penyokong skuad Penyu sedih kerana tiada lagi falsafah ‘Nafuzi ball’ akan kelihatan dalam corak permainan pasukan Terengganu pada musim depan.
Ketika bumi Terengganu dibasahi dengan air mata akibat pemergian Nafuzi, Kedah Darul Aman (KDA) FC pula seakan-akan bergembira dengan berita berkenaan.
Mana tidaknya, selepas pemecatan Aidil Sharin Sahak pada September lalu, kekosongan jawatan ketua jurulatih Sang Kenari dikaitkan dengan Nafuzi Zain.
Jika benar jurulatih kelahiran Kelantan itu bakal mengemudi Kedah, ia sememangnya menjadi impian penyokong yang mengidamkan Nafuzi untuk membantu mengembalikan prestasi Kedah.
Selain Nafuzi, pasukan Hijau Kuning juga ibarat mendapat durian runtuh yang mana dikhabarkan KDA FC akan menerima tiga anak didik pengendali berkenaan pada musim depan.
Tiga pemain yang dimaksudkan ialah tonggak import TFC musim ini, Habib Haroon dan Manuel Gelito Ott, seorang lagi merupakan bekas jeneral tengah skuad Penyu, Sanzhar Shaakhmedov. Ketiga-tiga tonggak itu dilaporkan bakal mengikut jejak Nafuzi ke Stadium Darul Aman.
1) Habib Haroon
Habib menyarung jersi TFC selama dua musim. — Facebook/TFC
Pemain import kelahiran Bahrain, Habib mulai menyertai Terengganu pada 2021 dan dia sentiasa menjadi pilihan Nafuzi untuk menganggotai jentera tengah TFC dalam perlawanan penting.
Meskipun ada waktu pemain berusia 22 tahun itu dikritik cara permainannya namun tidak dapat dinafikan dia masih konsisten untuk memberikan persembahan terbaik.
Dalam musim ini sahaja, Habib tampil dalam 21 perlawanan bersama Terengganu FC untuk Liga Super dan berjaya menjaringkan tiga jaringan buat pasukan berkenaan.
Menerusi laman Transfermakt menunjukkan kontraknya bersama Terengganu FC akan berakhir pada 30 November ini dan itu menguatkan lagi desas-desus Habib akan mengikut jejak langkah gurunya.
2) Manuel Gelito Ott
Manual Ott dilihat cemerlang di bawah bimbingan Nafuzi. — Facebook/TFC
Pemain berdarah kacukan Filipina-Jerman, Manuel Ott menjadi pemain kegemaran Nafuzi dan penyokong TFC sejak perpindahannya dari Harimau Melaka pada awal musim ini.
Pemain tengah itu terbukti menjadi pembelian yang berbaloi buat TFC terutamanya selepas dia berjaya mengumpul lima gol dan lima bantuan dalam 21 aksi Liga Super.
Namun begitu, kelibat Manuel bersama Terengganu berkemungkinan tidak akan kelihatan lagi selepas posisinya dikhabarkan akan digantikan dengan pemain kebangsaan Indonesia, Ricky Kambuaya.
Sama seperti Habib, kontrak pemain berusia 30 tahun itu juga bakal tamat pada penghujung November ini.
Kedah boleh menarik nafas lega jika berjaya menggunakan khidmat pemain tengah itu bagi menggantikan pemain pinjaman dari Bangkok United FC, Sanrawat Dechmitr.
3) Sanzhar Shaakhmedov
Sanjar kini beraksi di Liga Super Uzbekistan bersama AGMK Olmaliq dan kontraknya akan tamat pada 31 Disember 2022. — Facebook/TFC
Siapa boleh melupakan kehebatan arkitek tengah dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov yang pernah menjadi tulang belakang TFC selama dua musim iaitu 2019 dan 2020.
Bersama TFC, pemain berusia 32 tahun beraksi dalam 33 perlawanan dan berjaya mencetak 13 jaringan serta tiga bantuan gol dalam saingan Liga Super.
Sebelum ini, Sanzhar dikatakan akan kembali menyertai Terengganu untuk memperkukuh jentera tengah pada musim depan namun impian penyokong Sang Penyu mungkin akan terkubur.
Selepas berita Nafuzi tidak menyambung kontrak bersama skuad Penyu, nama Sanzhar turut terpalit akan mengikuti jejak langkah pengendali itu ke Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram