SETIAP kali Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung, isu yang sering menjadi topik tumpuan ialah adakah calon wanita merupakan individu sesuai untuk memimpin sesebuah kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
PRU ke-15 (PRU15) kali ini menyaksikan seramai 127 calon wanita akan bertanding di kerusi Parlimen, manakala 60 lagi calon di kerusi di DUN Perlis, Perak, Pahang dan Bugaya di Sabah.
Meskipun calon wanita semakin diterima umum di Malaysia namun tidak dapat dinafikan masih ada yang mempersoalkan sama ada wanita dibolehkan bertanding pilihan raya dalam Islam.
Selain itu, tidak kurang juga ada beberapa pihak yang masih sahaja merendah-rendahkan kaum Hawa yang bertanding dalam pilihan raya.
Seperi kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memanggil calon wanita dari parti lain yang akan bertanding di Sik dengan panggilan 'betina' ketika berucap dalam satu ceramah baru-baru ini.
Ucapan dari Muhammad Sanusi itu membuatkan ramai ahli politik wanita seperti calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Pendang, Datuk Suraya Yaacob dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tampil menyelar kata-katanya.
Panggilan 'betina' itu seolah-olah merendahkan martabat wanita yang akan bertanding pada PRU15.
Turut tidak bersetuju dengan perbuatan Pengerusi Perikatan National (PN) Kedah itu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, seorang individu tidak sepatutnya merendah-rendahkan orang lain.
Mufti Terengganu itu menegaskan bahawa jika seseorang itu ingin menunjukkan kehebatannya sekalipun, memperkecilkan orang lain bukan cara yang sepatutnya.
“Kita tidak boleh down grade orang. Kita kena buat kerja berdasarkan kekuatan. Kita buat kerja kita tapi jangan mudah nak hukum orang.
“Kadang orang tak tunjuk kehebatan dia tapi bila diberi amanah jadi terserlah. Jangan hina orang, jangan pandang rendah. Kita tunjuk apa kita boleh buat. Apa yang dijanjikan boleh buat atau tidak,” katanya kepada Majoriti.
Berbicara mengenai calon kaum Hawa dalam PRU, Mohamad Sabri berkata, seorang wanita boleh diangkat menjadi pemimpin tetapi perlu melihat keadaan yang sesuai dengannya.
Jelasnya, antara keadaan ataupun perkara yang sesuai diterajui oleh kaum Hawa ialah seperti isu-isu yang berkaitan dengan urusan tentang wanita.
Selain itu, lelaki sememangnya pilihan pertama yang perlu diundi namun jika ahli politik itu tidak melaksanakan kerja dengan baik, pengundi boleh memilih calon wanita berkenaan.
Menjadi masalah buat wanita untuk bertanding apabila urusan keluarganya terabai disebabkan terlalu sibuk untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Asasnya kita tengok orang lelaki. Namun, walaupun dia lelaki tapi jika dia lemah, maksudnya tak sesuai. Mungkin dia itu jadi 'pak turut' sahaja, jadi susah juga. Oleh itu kena tengok kekuatan peribadi itu yang boleh membantu masyarakat.
“Jika kita pilih pemimpin ini adalah bila dia boleh membantu masalah umum. Jika masalah dia sendiri pun tak boleh nak urus, memang tak sesuai.
“Jika wanita terlibat dengan perkara-perkara yang melibat masalah umum, memang besarlah peranan dia. Nak jaga keluarga lagi. Jadi ada kekuatan tak dia di situ untuk uruskannya.
“Benda-benda itu masyarakat kena tengok. Boleh buat kerja atau tidak. Jika urusan rumah tangga tak selesai, macam mana nak urus benda lain. Tapi ada yang kita akui ada wanita boleh urus perkara itu. Jika dia boleh, maka masyarakat boleh menilai,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram