Selepas prestasi hambar KDA FC, House of Sang Kenari port suntik semangat baharu penyokong Hijau Kuning


  • Podium
  • Isnin, 14 Nov 2022

House of Sang Kenari merupakan satu inisiatif penyokong untuk menyuntik kembali semangat buat KDA FC. — Facebook/Sang Kenari 1924

TAHUN 2022 boleh disifatkan sebagai satu musim yang kurang memberangsangkan buat Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas bergelut dengan pelbagai isu dalaman dan luaran.

Prestasi terumbang-ambing dalam Liga Super menyaksikan pasukan tersebut hanya perlu berpuas hati di kedudukan kelapan dengan hanya 27 mata berjaya dikumpul.

Kekecewaan itu disusuli dengan keputusan pihak pengurusan untuk menggugurkan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak walaupun terdapat desakan daripada penyokong untuk mengekalkannya.

Namun, perkara itu gagal untuk mengubah nasib Sang Kenari apabila mereka disingkir seawal peringkat pertama Piala Malaysia di tangan kelab Liga Super, Negeri Sembilan FC.

Masalah itu pastinya menyukarkan pihak pengurusan untuk meraih semula kepercayaan penyokong terhadap pasukan yang sebelum ini tidak henti-henti memberi semangat kepada mereka.

Hal tersebut dilihat bakal mengeruhkan lagi situasi KDA FC dengan sebahagian besar pendapatan pasukan diperolehi menerusi kutipan jualan tiket setiap hari perlawanan.

Oleh itu, dalam usaha mencuri semula hati peminat tegar pasukan utara tanah air itu, pihak pengurusan bertindak menjalinkan kerjasama dengan kelab penyokong, Sang Kenari 1924.

Hubungan antara kedua-dua pihak itu diperkukuhkan lagi dengan kehadiran pihak KDA FC apabila kelab penyokong itu mendirikan sebuah rumah kelab komuniti, House of Sang Kenari yang terbuka kepada orang ramai pada 21 Oktober lalu.

Selain dipenuhi pelbagai barangan jualan berkonsepkan KDA FC, rumah kelab itu juga dihiasi gambar serta lukisan yang memperingati kenangan pasukan tersebut.

311486033_5540366779410503_4555823521283770040_n

Hazriq (tengah) berharap kerjasama itu mampu membawa semula zaman kegemilangan KDA FC. Facebook/Sang Kenari 1924

Bagi pengasas rumah kelab, Mohamad Hazriq Fahimy Abdullah, dia berharap kerjasama antara kedua-dua pihak itu dapat menarik lebih ramai penyokong untuk memeriahkan lagi suasana di kompleks tersebut.

"Harapan kami di sebalik kerjasama dengan pihak KDA FC adalah untuk memaksimumkan lagi penggunaan dan fungsi rumah kelab ini.

"Kita bersama KDA FC akan merencana lebih banyak program serta aktiviti, khususnya untuk semua penyokong pasukan Sang Kenari ini," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, rumah kelab yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah dibangunkan untuk menjadi pusat yang boleh menyatukan komuniti penyokong di bawah satu bumbung sebagai tujuan utama mereka.

Tidak cukup dengan itu, Hazriq berkata, dia juga melihat inisiatif yang digariskan dapat membina suasana positif antara penyokong Hijau Kuning, sekali gus memacu kecemerlangan bola sepak di Negeri Jelapang Padi itu.

"House of Sang Kenari juga bertujuan untuk memupuk semangat jati diri dan kecintaan dalam menyokong pasukan dengan meneruskan kesinambungan legasi serta terus membawa penambahbaikan bagi kecemerlangan bola sepak negeri Kedah khususnya," katanya.

Pelancaran rumah kelab itu sebelum ini dihadiri beberapa nama besar KDA FC termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Khamal Idris Ali serta beberapa pemain skuad utama.

313390035_5564484126998768_7506249586645468965_n

House of Sang Kenari semakin meriah selepas kerjasama rasmi itu. Facebook/Sang Kenari 1924

Dalam masa sama, Hazriq turut menekankan bahawa penyokong seharusnya memberi sokongan tidak putus kepada pasukan meskipun dengan pelbagai tohmahan dan isu luar padang yang berlegar di media sosial.

"Kita kena terima hakikat dan realiti bahawa kualiti pasukan kita musim ini agak sederhana dan ia dibuktikan dengan pencapaian rentetan daripada keputusan yang sederhana.

"Pesanan saya kepada semua penyokong agar kita semua terus bersatu hati dalam terus menyokong pasukan Hijau Kuning dan saya juga amat berharap agar pihak pengurusan dapat menyusun serta memperkemaskan kembali pasukan Kedah," katanya.

Sejak menjalinkan kerjasama itu, House of Sang Kenari berjaya menarik lebih ramai pelanggan dengan penganjuran beberapa aktiviti, termasuk tayangan langsung pertembungan Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram