[VIDEO] Macam poket 'Doraemon,' lelaki selamba curi kasut sorok dalam seluar di Tangkak


  • Tular
  • Rabu, 09 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki mencuri kasut bersaiz kanak-kanak di sebuah kedai di Tangkak, Johor.

TINDAKAN seorang lelaki mencuri kasut di sebuah kedai sekitar Tangkak, Johor, pada Selasa mengundang perhatian ramai.

Ketika kejadian, suspek kelihatan tenang semasa melakukan kegiatan tersebut apabila berjaya menyorokkannya di dalam seluar.

Lelaki berbaju merah jambu dan berseluar pendek itu terlebih dahulu masuk ke premis berkenaan untuk melihat barangan yang dijual.

Namun, situasi mula berubah apabila lelaki terbabit bertindak mengambil dan menyorok sepasang kasut bersaiz kanak-kanak dalam seluarnya.

Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), visual itu dikongsi di laman Facebook dan hangat diperkatakan warganet.

Sebelum mencuri, suspek terlebih dahulu melihat kawasan sekeliling bagi memastikan perbuatannya berjalan lancar.

Berjaya menyembunyikan kasut di dalam seluar, langkah pemuda berkenaan kelihatan sedikit kekok ketika berjalan di ruang premis tersebut.

Selesai mencuri, suspek kemudiannya beralih dari bahagian pakaian ke beg tangan bagi mengalihkan perhatian pemilik kedai dan mengelak daripada ditangkap orang awam.

Rata-rata warganet meninggalkan komen berhubung kejadian tersebut.

"Punya la hebat, dalam seluar dia boleh sorok kasut itu macam ada banyak ruang, dia berjalan pun nampak pelik sebab ada kasut celah kaki dia," kata Ismail Ajis.

"Mungkin anak yang nak pakai kasut itu, nak beli tiada duit jadi dia terpaksa mencuri, kalau saya jadi pemilik kedai saya sedekahkan sahaja," jelas Adie Lifemone.

"Kalau pandang daripada sudut positif, lelaki itu mungkin terdesak dengan masalah ekonomi sampai terpaksa mencuri demi membahagiakan anak, tetapi apa-apa pun ia tetap satu kesalahan," tambah Emier Bro.

Difahamkan, pemilik kedai masih belum membuat sebarang laporan polis berhubung kes itu dan meminta agar individu berkenaan kembali memulangkan barangan yang diambil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram