TINDAKAN seorang lelaki dipercayai warganegara Singapura yang menghimpit sebuah kereta lain di Sultan Iskandar Kompleks CIQ, Johor Bahru, Johor pada Isnin mengundang perhatian ramai.
Kejadian itu difahamkan berlaku selepas pemandu kereta jenis Honda itu menghimpit dan melanggar kenderaan lain di laluan tersebut.
Meskipun berada di lorong kiri, suspek difahamkan melanggar peraturan jalan raya apabila bertindak memotong barisan dan tidak memberikan sebarang tanda lampu isyarat ketika memasuki lorong kanan.
Susulan itu, satu pelanggaran berlaku dan ia sekali gus menimbulkan kemarahan pemilik kereta terbabit.
Dikongsikan di laman Facebook, insiden itu hangat diperkatakan warganet dan menerima lebih 600 perkongsian setakat ini.
Berdasarkan rakaman dashcam itu, kedua-dua individu tersebut dilihat keluar daripada kenderaan masing-masing untuk bersemuka.
Gagal mengawal kemarahan, mangsa terlebih dahulu dilihat meluru ke arah keretanya untuk memastikan tahap kerosakan dialami sebelum mula memarahi suspek.
Pelanggaran itu nyata menimbulkan kekecohan ramai apabila laluan di situ bertukar sesak gara-gara insiden tersebut.
Hasil tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati, rata-rata warganet mengecam perbuatan lelaki warga Singapura itu.
"Masuk negara orang memang tak reti nak ikut undang-undang jalan raya agaknya, sampai dua kali dia himpit dan langgar kereta itu," kata Haiqal Azman.
"Kadang-kadang warga Singapura ni pakai kereta sewa, sebab itu dia tak sayang kereta main langgar sesuka hati sampai orang lain yang jadi mangsa," jelas Encik Hisyam.
"Orang macam ini memang perlu dihalau dan dilarang daripada masuk ke Johor Bahru, laporkan pada polis segera biar dia dijatuhi hukuman," tambah Alex Ng.
Masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis setakat ini sementara maklumat lanjut antara kedua-dua individu terbabit juga belum diketahui. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram