SEBUAH kedai akuarium di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, dilaporkan mengalami kerugian lebih RM15,000 apabila dua ekor burung kakak tua dicuri sekumpulan remaja pada Selasa.
Kejadian itu terbongkar selepas pemilik kedai menyiarkan semula rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan aksi empat remaja memecah masuk dan mencuri haiwan terbabit.
Suspek dipercayai menunggang dua buah motosikal ketika melakukan aktiviti jenayah itu.
Difahamkan, burung yang dicuri merupakan antara baka termahal bagi kategori hidupan tersebut iaitu 'Blue gold macaw' dan 'Green wing macaw'.
Kos burung tersebut dianggarkan tidak kurang daripada RM6,000 seekor tidak termasuk lesen peliharaan haiwan eksotik yang sekali gus mengakibatkan kerugian besar terhadap pemilik kedai itu.
Lebih mengejutkan, sangkar burung tersebut turut dicuri individu berkenaan ketika kejadian.
Di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam perbuatan sekumpulan remaja terbabit.
"Memang untung besar la penyamun itu, harga seekor burung kakak tua memang tinggi dan laku jika dijual semula," kata Syabur.
"Kalau dah nama pencuri apa sahaja boleh ditukarkan kepada bentuk wang mesti akan dicuri, burung kakak tua memang mahal jadi tak pelik la," jelas mhafiz980.
"Semoga pemilik kedai dapat jumpa semula burung yang hilang, rugi besar kedai itu sebab burung kakak tua memang mahal boleh mencecah ribuan ringgit seekor," tambah Naufalakmar.
Namun, pemilik kedai difahamkan belum membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian itu sambil mengharapkan bantuan orang ramai jika ada ternampak haiwan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram