Selangor jinakkan TFC, aksi longlai Faisal Halim curi tumpuan


  • Podium
  • Rabu, 16 Nov 2022

Aksi kurang bermaya Faisal Halim (tengah) dipertikaikan penyokong TFC ketika ditewaskan Selangor 1-3 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia malam tadi. — MFL

TINDAKAN Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain yang memutuskan untuk meninggalkan pasukan Pantai Timur itu pada musim depan, nampaknya sedikit sebanyak memberi kesan kepada persembahan pemainnya.

Masakan tidak, ayam tambatan pasukan itu, Faisal Halim dilihat agak tidak bersemangat dan bermain secara acuh tidak acuh ketika ditewaskan Selangor FC 1-3 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Selangor pada Rabu.

Sebelum ini, Faisal dilapor menegaskan bahawa dia akan kekal bersama Sang Penyu sekiranya Nafuzi kekal mengendalikan pasukan itu musim depan.

Khabar angin juga mengatakan bahawa Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey akan melakukan perpindahan ke pasukan The Red Giants pada musim depan.

Persembahan kurang memberangsangkan ditunjukkan oleh Faisal turut dipertikaikan oleh penyokong TFC.

Muhamad Safuan menulis: "Mickey, saya nak ingatkan awak ye, majikan awak sekarang Terengganu bukan Selangor. Kalau boleh rembat ke gol rembat jelah. Umpama keli dua selubang."

Rasidah Mohamad berkata: "Mickey jangan bagi nampak sangat hormat bakal team untuk musim depan nanti."

Dalam perlawanan itu, gol-gol Selangor dijaringkan oleh Richmond Ankrah pada minit ke-37, Herlison Caion de Sousa Ferreira (43) dan Sharul Nazeem Zulpakar (54) sementara gol saguhati TFC pula dijaringkan oleh Kipre Tchetche seawal minit ke-19.

Kedua-dua pasukan selepas ini bakal bertemu semula untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 21 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram