Dengarnya tinggalkan JDT, ketahui pro-kontra andai Safawi Rasid pilih TFC atau Selangor


  • Podium
  • Khamis, 17 Nov 2022

Safawi difahamkan dikatakan bakal meninggalkan Harimau Selatan ketika jendela perpindahan akan datang. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEHADIRAN bintang muda tempatan, Arif Aiman Hanapi dalam skuad Johor Darul Takzim (JDT) memberi bayangan bahawa dia mampu memacu serangan skuad kebangsaan buat tahun-tahun akan datang.

Selain bijak memanfaatkan skil menggelecek di sebalik tubuhnya yang cilik, pemain berusia 20 tahun itu juga sering menjadi ancaman kepada pihak lawan menerusi sepakan deras daripada luar kotak penalti.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon membuat taruhan besar dengan meletakkan kepercayaan besar di bahunya sejak mengambil alih.

Perkara itu jelas memberi kelebihan buat pasukannya selepas Arif berjaya menghasilkan tiga bantuan gol dalam 14 aksi antarabangsa, termasuk dalam kelayakan Piala Asia 2023.

Dalam skuad Harimau Selatan pula, pemain berjersi no. 42 itu juga tidak kurang hebatnya selepas menjaringkan lapan gol, dengan tiga daripadanya terhasil dalam Liga Super.

Jadi, kehadirannya jelas memberi kegembiraan buat penyokong bola sepak tempatan, terutama peminat tegar JDT serta pasukan itu yang berhasrat untuk mengekalkannya buat satu tempoh yang panjang.

Ariff

Kehadiran Arif Aiman sedikit sebanyak menyekat peluang Safawi bersama JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, di sebalik keriangan itu, pasti ada pihak yang kurang berpuas hati selepas minit dan peluang mereka di atas padang semakin terjejas beberapa musim kebelakangan ini.

Antara pemain tersebut ialah pemain sayap kelahiran Terengganu, Safawi Rasid yang semakin terhad aksi bersama skuad Harimau Selatan dengan kehadiran Arif Aiman.

Musim ini, pemain berusia 25 tahun itu hanya tampil sebanyak 13 kali dalam liga dengan kesemua daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.

Hal itu pastinya menjejaskan sentuhannya di atas padang yang juga dapat disaksikan musim ini selepas hanya mampu merekodkan dua gol liga dan tiga bantuan.

Oleh itu, dia pastinya terbuka untuk meninggalkan pasukan selatan tanah air itu dalam usaha mendapatkan tempatnya bersama skuad Piala AFF dan Piala Asia.

Perkara itu dilihat mula disedari beberapa pasukan Liga Malaysia dengan khabar angin mula mengaitkan pemain sayap itu dengan Selangor FC dan Terengganu FC.

Bagaimanapun, pilihan itu pasti sukar untuk direalisasikan dengan kedua-dua pasukan dilihat mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Menurut pemerhatian Majoriti, terdapat beberapa perkara yang perlu dinilai Safawi sekiranya berhasrat untuk membuat pilihan bijak dalam memilih destinasi baharunya untuk musim depan.

Terengganu FC

Pro: Menggantikan Faisal Halim

Selain khabar angin mengaitkan Safawi dengan perpindahan ketika jendela perpindahan akan datang, kedengarannya juga beberapa laporan yang mengatakan tonggak Sang Penyu, Faisal Halim bakal berhijrah.

Selepas hampir dua musim bersama skuad Sang Penyu, pemain kelahiran Penang itu dikhabarkan memilih untuk berhijrah dengan Selangor FC difahamkan berminat.

Jadi, sekiranya Safawi memilih untuk pulang ke tanah airnya itu, barisan kejurulatihan juga pasti tidak akan perlu runsing untuk mencari pengganti berkaliber.

Qsd4T698_400x400

Safawi pernah menyarung jersi pasukan simpanan Terengganu FC. Twitter/Safawi Rasid

Walaupun sentuhannya kurang menyerlah musim ini, pemain JDT itu masih mempunyai kehebatan dari segi hantaran lintang serta situasi bola mati seperti sepakan percuma dan sepakan sudut.

Tidak cukup dengan itu, Safawi pasti tidak akan bergelut untuk menyesuaikan diri selepas pernah beraksi dengan skuad Sang Penyu dalam pasukan simpanan dan senior sebelum berpindah ke JDT.

Selain itu, kepulangan pemain tersebut semestinya diterima penyokong selepas bakatnya satu masa dahulu pernah menambat hati mereka dengan kesungguhan dan keazaman yang dipamerkan.

Kontra: Kemelut pengurusan

Beberapa bulan kebelakangan ini, isu kontrak ketua jurulatih, Nafuzi Zain berjaya menarik perhatian ramai selepas pengendali itu dilihat bakal meninggalkan pasukan selepas hampir empat tahun.

Hal itu sedikit sebanyak membuktikan kemelut pengurusan yang dihadapi naib juara Liga Super terbabit yang dikhabarkan mengalami campur tangan pihak luar sepanjang tahun ini.

Masalah tersebut pastinya diberi perhatian oleh Safawi yang mengharapkan pasukan baharunya mempunyai perancangan rapi sebelum tirai Liga Super dibuka musim depan.

WhatsApp Image 2022-11-16 at 21.05.36

Nafuzi enggan meneruskan kontraknya bersama skuad Sang Penyu untuk musim depan. Facebook/Terengganu FC

Di samping itu, kehilangan Nafuzi juga diramal bakal menyukarkan pihak pengurusan Terengganu FC untuk membawa masuk wajah baharu ketika jendela perpindahan akan datang.

Kebijaksanaan jurulatih kelahiran Kelantan itu untuk menambah baik anak-anak buahnya pasti dirindui dengan beberapa pemain, seperti Sharul Nizam dan Faiz Nasir berjaya menikmati sentuhan tersebut.

Bagaimanapun, sekiranya pihak pengurusan sememangnya serius untuk menyambar khidmat Safawi, mereka perlu pantas untuk mendapatkan staf kejurulatihan baharu yang mampu menerapkan ideologinya buat pasukan.

Selangor FC

Pro: Tan Cheng Hoe

Tidak boleh dinafikan bahawa kehadiran Tan Cheng Hoe memberi pelbagai kelebihan buat Selangor FC yang pada awalnya bergelut dalam saingan Liga Super dan Piala FA.

Namun, jurulatih kelahiran Kedah itu berjaya mengembalikan senyuman buat penyokong Gergasi Merah selepas menamatkan saingan liga di tempat kelima selain meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia.

Malah, sentuhan Cheng Hoe juga berjaya menyuntik perubahan kepada anak-anak buahnya sehingga ada antara mereka mula mengukuhkan tempatnya dalam pasukan.

WhatsApp Image 2022-11-11 at 21.22.40 (1)

Cheng Hoe dijangka bakal membawa masuk pemain berdasarkan acuannya sendiri. Facebook/Selangor FC

Oleh itu, sekiranya Safawi memilih untuk menyertai juara 33 kali Piala Malaysia itu, ia pasti membawa perbezaan buatnya dengan Cheng Hoe dilihat bijak untuk menggunakan pemainnya.

Selain itu, pemain berkaki kiri itu juga pasti terbuka untuk bergandingan bersama pengendali berpengalaman itu selepas pernah bersama-sama dalam skuad kebangsaan.

Tetapi, adakah Safawi merupakan pemain acuan Cheng Hoe yang ketika ini sedang memberi tumpuan penuh ke arah kempen Piala Malaysia dan tidak mahu mengulas lanjut mengenai pemain baharu untuk musim depan.

Kontra: Lambakan jentera serangan Selangor FC

Seperti dibincangkan awal tadi, ura-ura menyebut bahawa Faisal bakal menyertai pasukan Lembah Klang itu yang ketika ini didapati kurang menyerlah di barisan serangan mereka.

Kehadiran pemain dengan fizikal kecil itu pastinya memberi kelebihan buat pasukan tersebut dengan perkara itu dibuktikan sejak menyertai Terengganu FC.

Namun, musim ini, Selangor FC dilihat sudah dibanjiri pemain sayap berbahaya seperti Nor Hakim Hassan dan Hein Htet Aung yang semakin menyengat dalam kempen Piala Malaysia.

Faisal-Halim-10

Faisal difahamkan semakin hampir untuk menyertai Selangor FC musim depan. Facebook/Terengganu FC

Perkara itu pastinya akan terus menyekat peluang Safawi dalam pasukan dengan Cheng Hoe dilihat semakin selesa dengan barisan pemain yang dimilikinya ketika ini.

Bagaimanapun, masalah itu pastinya mampu diselesaikan kedua-dua pihak dengan pemain itu juga kerap diturunkan sebagai pemain tengah menyerang, lebih-lebih lagi dalam skuad kebangsaan.

Tidak cukup dengan itu, Cheng Hoe juga pastinya tidak mahu mensia-siakan pemain berkualiti tersebut yang dijangka mampu membawa skuad Gergasi Merah ke tahap lebih tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram