SETELAH tujuh tahun menuai bakti, Nafuzi Zain akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada bumi Terengganu yang menjadi medan buatnya mencipta nama sebagai ketua jurulatih.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh pada Selasa mendedahkan bahawa surat jurulatih itu diterima pihak pengurusan pada petang Isnin selepas tempoh 14 hari tamat akhir minggu lalu.
Namun, jurulatih kelahiran Kelantan berusia 44 tahun itu tidak direhatkan, sebaliknya perlu menamatkan saingan Piala Malaysia yang berbaki tiga perlawanan lagi jika skuad itu mara ke pentas final musim ini.
Bermula dengan membimbing pasukan T-Team FC sehingga bersama pasukan Terengganu FC (TFC), taktikal Nafuzi sudah banyak membantu skuad Penyu meraih kedudukannya sekarang.
Justeru, kehilangan Nafuzi pasti sedikit sebanyak bakal mempengaruhi prestasi skuad Penyu terutama dalam kempen Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang bakal ditempuhi skuad tersebut buat pertama kali pada musim depan.
Bekas pemain bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir menjangkakan pasukan Terengganu bakal mengalami rombakan besar-besaran dalam kalangan pemain dan secara tidak langsung bakal menukar momentum pasukan tersebut.
Terengganu FC perlukan pemain import mantap musim hadapan. — Bernama
"Sudah menjadi lumrah, sekiranya seseorang jurulatih itu meninggalkan satu-satu pasukan, pasti beberapa anak buahnya akan mengikuti jejak langkah jurulatih berkenaan. Sama ada ke pasukan lain atau ikut jurulatih itu.
"Dalam masa sama, jurulatih juga sering 'membawa' pemain-pemain bersamanya ketika berhijrah ke pasukan lain dengan meletakkan syarat tersebut di dalam kontrak. Oleh itu, rombakan ini pasti mempengaruhi dinamik dalam pasukan Terengganu," katanya kepada Majoriti.
Namun, bekas jurulatih pasukan Sri Pahang FC itu turut berpendapat, penambahan jumlah pemain import pada kancah liga musim hadapan boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi menampung semula keretakan yang berlaku dalam pasukan Terengganu FC.
"Pasukan Terengganu telah mencapai keserasian setelah lama dibimbing di bawah 'DNA' sama. Perubahan kejurulatihan dan dijangka seterusnya, akan berlaku rombakan pada barisan pemain pasti menyukarkan skuad tersebut untuk bina semula keserasian.
"Untuk bina semula satu pasukan mantap memerlukan masa lama. Jadi, untuk tidak sekadar tampil sebagai pelengkap jadual AFC, Terengganu perlu pastikan pemain import mereka tahun depan berkualiti.
"Pemain-pemain import berkualiti, termasuk pemain import sedia ada mampu membantu menyeimbangkan kembali kekuatan pasukan sekiranya ramai pemain tempatan berkualiti keluar dari TFC," jelasnya.
Terengganu mengesahkan slot ke Piala AFC 2023 selepas bergelar naib juara Liga Super 2022 dengan menewaskan Kedah Darul Aman FC 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada 16 Oktober lalu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram