‘Kelab bola sepak dah profesional, tapi bagaimana dengan sikap?’


  • Podium
  • Rabu, 16 Nov 2022

Zulakbal menyokong tindakan Nafuzi selepas mendedahkan layanan yang diterima daripada Terengganu FC.

TEKA-TEKI mengenai masa depan ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain akhirnya terjawab selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ab Rasid Jusoh mendedahkan dia menolak tawaran lanjutan kontrak.

Kedua-dua pihak sebelum ini jelas tidak sebulu antara satu sama lain dengan pelbagai sumber mengatakan pengendali tersebut sudah memilih untuk meninggalkan skuad Sang Penyu sejak Ogos lalu.

Antara khabar angin lain turut melaporkan bahawa Nafuzi sudah disambar Kedah Darul Aman (KDA) FC yang ketika ini tidak berada di bawah bimbingan mana-mana jurulatih berkaliber selepas Aidil Sharin Sahak meninggalkan pasukan itu.

Tidak cukup dengan itu, kemuncak kemelut tersebut adalah apabila jurulatih berusia 44 tahun itu mempersoalkan tahap profesionalisme pihak pengurusan dalam menyerahkan kontrak lanjutan kepadanya.

Nafuzi berkata, tawaran itu diserahkan menggunakan perantaraan pegawai pasukan serta tidak melakukan perbincangan mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan terhadap pasukan.

Pendedahan itu jelas mencuri perhatian ramai pihak dengan ada di antara mereka menyokong luahan itu sementara segelintir daripada mereka mempersoalkan kredibiliti Nafuzi.

Antara yang lantang meyuarakan pendapatnya akan perkara itu ialah Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan dengan mengharapkan satu layanan lebih adil diterima pengendali tempatan.

ATM coach B. Sathianathan gestures during short interview at Subang Airport before depart to Kelantan. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. October 24, 2013.

Sathianathan menyokong tindakan Nafuzi dengan membidas layanan tidak adil pihak pengurusan.

Katanya, dia berpendapat bayaran gaji yang tinggi terhadap jurulatih import seperti tidak menghargai jurulatih tempatan selepas terpaksa menanggung kos perolehan lesen dengan sendiri.

Tidak mahu ketinggalan dalam mengulas perkara itu ialah pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang terbuka untuk memberi pandangannya akan isu tersebut.

"Saya berkongsi dari perspektif ahli akademik yang terlibat dengan sukan ini, saya fikir betul juga apa yang dikatakan Sathianathan yang mana pasukan yang tukar daripada FA ke FC kononnya sudah benar-benar profesional.

"Jadi, tindak-tanduk mereka sepatutnya menunjukkan sikap profesional kelab-kelab tersebut dan kejadian yang dikongsikan Nafuzi itu jika betul, tidak wajar untuk dilakukan sedemikian rupa," katanya kepada Majoriti.

Berdasarkan perkongsian CEO Terengganu pada Selasa, kontrak Nafuzi bersama pasukan akan ditamatkan selari dengan tempoh Piala Malaysia yang akan ditamatkan 26 November nanti.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu sememangnya menjadi buruan beberapa kelab Liga Malaysia selepas berjaya memberi suntikan berbeza buat Terengganu FC musim ini.

1630041581_27082113081941000000612875ed5784e

Zulakbal mendambakan layanan lebih baik kepada jurulatih tempatan.

Hal itu dibuktikan dengan kejayaan skuad Sang Penyu untuk mara ke peringkat akhir Piala FA, separuh akhir Piala Malaysia serta muncul sebagai naib johan dalam Liga Super.

Mengulas lanjut, Zulakbal turut mengharapkan perkara sebegitu tidak akan berulang selain berkongsi pendapat dengan Sathianathan, di mana layanan lebih baik perlu diberikan kepada jurulatih tempatan.

"Jadi, kita harap dalam liga akan datang, kita tidak lagi kedengaran kelab-kelab profesional ini ada masih lagi tertunggak gaji dan sebagainya.

"Perkara ini terutamanya kepada jurulatih tanah air, kerana mereka yang import boleh melaporkan isu itu kepada FIFA sekiranya terjadi kepada mereka dan pasukan akan didenda," katanya.

Tambah pensyarah dari Fakulti Sains Sukan & Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris itu, dia juga tidak membidas kaedah luahan Nafuzi itu dengan mempersoalkan medium terbaik untuknya berkongsi isu berkenaan.

"Kalau benar ia berlaku, saya rasa ia boleh diperbaiki sepatutnya, tapi apakah cara untuk Nafuzi boleh mengadu akan perkara itu apabila dia menerima surat menerusi 'kitman'.

"Saya fikir, dia sudah bengang dengan pihak pengurusan, tidak mungkin dia akan berjumpa dengan pihak pengurusan atau persatuan untuk mengatakan bahawa dia tidak berpuas hati?" katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram