MENJELANG aksi kedua suku akhir Piala Malaysia pada Jumaat, Selangor FC pastinya lebih bersedia untuk berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan bagi berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC).
Meskipun dengan bekalan dua gol yang dibawa daripada pertembungan di Stadium MBPJ sebelum ini, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe tidak mahu anak-anak buahnya untuk berasa terlalu selesa.
"Kalau kita lihat memang kita dapat bekalan dua gol untuk bertandang ke Negeri Sembilan dan memang bukan satu perlawanan mudah serta bukan jaminan apabila kita dapat bekalan 2-0, kita sudah layak ke peringkat seterusnya.
"Yang penting, pemain-pemain kena tahu pendekatan daripada Negeri Sembilan nanti kerana saya rasa corak permainan mereka akan terus menyerang," katanya kepada Majoriti.
Dia berkata sedemikian ketika ditemui selepas sesi latihan di Padang Latihan Selangor, Shah Alam pada Selasa.
Dalam perlawanan di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad lalu, skaud Gergasi Merah berjaya mendahului menerusi sepakan penalti penyerang import, Herlison Caion selepas pertahanan skuad Jang, Herold Goulon dilayangkan kad merah.
Anak-anak buah Cheng Hoe juga tidak mensia-siakan peluang beraksi menentang 10 orang dengan pemain simpanan, Alifh Haiqal menjaringkan gol kedua beberapa minit sebelum wisel penamat ditiupkan.
Cheng Hoe pastinya tidak mahu kehilangan pemain berpengalaman itu. — Facebook/Selangor FC
Pada masa sama, ketika ditanya mengenai kecederaan dialami kapten pasukan, Brendan Gan pada aksi sebelum ini, Cheng Hoe berkata, pemain tersebut masih dalam fasa pemulihan.
"Pada tempoh hari itu, Brendan Gan dikeluarkan kerana ada sedikit kecederaan di lututnya dan saya rasa, selepas sehari dua, saya rasa dia sudah pulih sepenuhnya.
"Dan hari ini, kita masih dalam latihan dan dalam proses pemulihan lagi dan kita perlu dapatkan kepastian pihak perubatan pasukan kita untuk pastikan Brendan Gan berada dalam tahap kecergasan 100 peratus," katanya.
Pemain kebangsaan itu sebelum ini dikeluarkan pada minit ke-78 selepas dilihat mengalami sedikit kecederaan, sekali gus memberi sedikit kegusaran kepada penyokong Gergasi Merah.
Sejak memegang jawatan sebagai ketua jurulatih Selangor, pengendali kelahiran Kedah itu hanya mencatatkan satu keputusan seri serta berjaya menang dalam enam perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia.
Perkara itu pastinya mendatangkan sedikit kegembiraan buat penyokong selepas permulaan musim yang kurang menyenangkan sehingga menyaksikan skuad tersebut menduduki tangga kesembilan Liga Super musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram