‘Buat perabis budu je’, idea bawa De Paula ke TRW kena 'reject'


  • Podium
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Musim ini De Paula dilihat hanya mampu beraksi bersama JDT II. — Facebook/JDT

PERANCANGAN rapi sememangnya diperlukan Kelantan FC untuk menamatkan saingan sebagai 10 pasukan terbaik dalam saingan Liga Super pada musim depan.

Sasaran realistik itu diletakkan sendiri oleh pemilik kelab Kelantan, Norizam Tukiman yang sedia maklum bahawa saingan liga pada musim depan akan menjadi lebih kompetitif dengan kedatangan pelbagai jurulatih berpengalaman selain penyertaan lebih banyak kelab.

Bukan sahaja kemunculan beberapa jurulatih berpengalaman seperti Tan Cheng Hoe di Selangor dan Lim Teong Kim bersama Perak FC memeriahkan liga musim depan, malah kerancakan membawa masuk pemain baharu juga menjadi tumpuan terutamanya dalam kalangan penyokong.

Ada kelab yang sudah menandatangani pemain baharu, tetapi masih banyak pasukan yang sedang giat memburu beberapa bintang bagi memperkukuhkan pasukan masing-masing.

Kelantan FC juga tidak ketinggalan dalam misi memperkemaskan skuad bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Malah penyokong The Red Warriors (TRW) berharap agar Kelantan FC mencari beberapa tonggak dapat mengelak daripada menjadi pasukan tercorot dalam saingan Liga Super musim depan.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk mengambil pemain berpengalaman dari pasukan gergasi, Johor Darul Takzim (JDT), Guilherme De Paula dan kapten, Safiq Rahim.

paula

De Paula mendapat kecaman teruk sewaktu beraksi bersama Harimau Malaya pada kempen kelayakan Piala Asia. — Facebook/FAM

Selain itu, penyerang Selangor, Shahrel Fikri dan jeneral tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Dechi Marcel N'Guessan juga antara nama yang dicadang untuk membarisi TRW pada musim depan.

“Ambo (saya) cadang tahun depan Zamzaham ambil dua penyerang, tiga pemain tengah dan dua centre back. Penyerang, De Paula, Sharel Fikri. Pemain tengah, Safiq Rahim, Dechi Marcel. Centre back, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Mahali Jasuli,” kata penyokong, Abe Roy.

Bagaimanapun, terdapat beberapa penyokong yang kurang menggemari dengan cadangan untuk menyambar De Paula.

shahrel

Selain Kelantan, penyokong Perak FC juga mengidamkan agar Shahrel Fikri kembali ke The Bos Gaurus. — Facebook/Selangor

Musim ini, kehadiran penyerang profilik di skuad senior Harimau Selatan, iaitu Bergson da Silva dan Syafiq Ahmad menyaksikan De Paula diturunkan ke JDT II, sekali gus memberi kesan terhadap prestasi pemain naturalisasi itu yang dilihat semakin merudum.

“Tak sangka.. Paula Abdul (De Paula) ada orang minat,” kata penyokong, Syed Umar al-Yahya.

“Tidak payah beli De Paula, buat menghabiskan budu sahaja,” komen penyokong Ahmad Soleh.

“Ambil lainlah, De Paula tahu dah macam mana gerak geri boleh baca. Kalau boleh serupa dengan Dickson best,” tulis penyokong, Qhai Rul’z Iv, merujuk kepada bekas penyerang Kelantan FC, Dickson Nwakaeme.

Sebelum ini Norizam atau lebih mesra disapa Zamsaham, bertanya soalan kepada penyokong TRW mengenai idea untuk membawa masuk pemain import dari Afrika menerusi laman Facebook miliknya.

Ideanya itu disambut baik oleh para penyokong dan berharap agar Zamsaham dapat membawa pulang Dickson yang pernah beraksi bersama kelab itu pada 2013. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram