Cuaca, ketiadaan pemain cabaran NSFC, Devan anggap bekalan 2 gol lawan tak beri kesan


  • Podium
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Cuaca tidak menentu antara halangan sepanjang persiapan mereka menentang Selangor pada Sabtu ini. — Facebook/NSFC

MENJELANG perlawanan aksi kedua suku akhir Piala Malaysia, cuaca tidak menentu diakui menganggu persiapan Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk membuat latihan seperti yang direncanakan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pengendali skuad Jang Hobin, K. Devan yang menyatakan hujan yang turun di bumi Paroi antara halangan sepanjang persiapan mereka menentang Selangor pada Sabtu ini.

“Persiapan NSFC sedikit terganggu sebab hujan setiap hari. Mungkin kita tak dapat membuat latihan yang sempurna. Jadi selepas itu kami juga ada masalah kecederaan dan penggantungan pemain," katanya kepada Majoriti.

Bukan itu sahaja, Negeri Sembilan juga terpaksa menerima hakikat ketiadaan beberapa tonggak yang sekali gus menjejaskan persiapan skuad.

Pemain tengah, Saiful Ridzuan Selamat dan pertahanan import, Gustavo Almeida dos Santos merupakan antara pemain yang mengalami kecederaan.

Manakala tonggak pertahanan, Herold Goulon pula berdepan hukuman penggantungan perlawanan berikutan kad merah yang dilayangkan oleh pengadil sewaktu perlawanan pada Ahad lalu.

goulan

Goulan bertindak mengasari pemain Selangor sebelum penalti diberikan pengadil perlawanan, Amirul Izwan Yaacob. — Facebook/NSFC

“Kita masih ada pemain cedera seperti Saiful Ridzuan dan juga Gustavo. Ia sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pusingan kedua.

“Tapi saya nampak pemain begitu bersemangat dalam sesi latihan dan fokus untuk membuat sesuatu di Paroi. Ini adalah peluang terakhir kita sekiranya nak layak ke separuh akhir,” katanya.

Ketiadaan dua import berkenaan akan digantikan dengan pemain tempatan Nasrullah Haniff Johan, Annas Rahmi dan Zulkhairi Zulkeply.

Menurut pengendali berusia 61 tahun itu, situasi ketiadaan pemain utama bukan pertama kali berlaku.

“Sebelum ini NSFC pernah main tanpa Goulon. Jadi itu tidak menjadi isu buat NSFC.

“Bekalan 2-0 itu saya nampak tidak memberi tekanan. Kita boleh jaringkan dua gol di tempat sendiri. Penting adalah semangat dan komitmen pemain dan beri persembahan yang baik,” jelasnya.

Pada pertemuan di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad lalu, skuad Jang tewas di tangan Selangor FC menerusi jaringan Herlison Caion dan Alifh Haiqal.

Mereka bagaimanapun pastinya berharap kelebihan beraksi di laman sendiri mampu membantu mereka untuk layak ke separuh akhir Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram