KHABAR angin semakin bertiup kencang mengatakan ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City bakal disambar dua kelab lain iaitu Penang FC dan PDRM FC.
Ia dikuatkan lagi dengan ciapan pemerhati bola sepak tempatan, T.Avineshwaran di Twitter.
“Difahamkan Pulau Pinang dan PDRM FC berminat untuk mengambil P. Maniam sebagai jurulatih untuk cabaran Liga Super musim depan,” katanya.
Namun, menurut tuan badan, Maniam Pachiappan atau P. Maniam, dia masih belum mendapat sebarang pengesahan daripada mana-mana pasukan yang akan dikendalikan untuk musim depan.
Katanya, dia memilih untuk mendiamkan diri sehinggalah bersedia untuk mendedahkan perkara tersebut secara terbuka.
“Harap maaf. Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu kerana masih belum ada sebarang kata putus.
“Tiada hitam putih, jadi saya tidak mahu bercakap mengenainya,” katanya kepada Majoriti.
Jurulatih berumur 54 tahun itu bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci tentang khabar angin kononnya dua kelab terbabit tampil menawarkan jawatan tersebut kepadanya.
Pasukan Penang FC antara yang dikatakan bakal menggunakan khidmat P.Maniam. — FAM
Malah P.Maniam juga tidak mengatakan jika ada kelab lain selain Penang FC dan PDRM FC yang berminat mendapatkan khidmatnya.
Ketika ditanya tentang pandangannya terhadap dua pasukan itu, P. Maniam tetap memilih untuk mendiamkan diri.
“Saya tidak boleh komen kerana saya tidak tahu,” jelasnya.
Meskipun masih belum jelas mengenai posisi yang akan dikendalikan nanti, P. Maniam tetap mengharapkan agar dia masih diber peluang untuk meneruskan kerjaya sebagai jurulatih.
“Sebagai jurulatih tentu saya mengharapkan agar dapat meneruskan kerjaya ini dan membimbing pasukan dalam kejohanan Liga Super dan liga-liga lain,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, P. Maniam turut memberitahu bahawa dia sudah memberikan yang terbaik dengan PJ City, namun enggan mengulas panjang mengenai keadaan dan hala tuju pasukan tersebut.
“Saya tidak mahu komen mengenai hala tuju mereka (PJ City) dan biarlah pengurusan yang menjawab tentang itu,” terangnya.
Untuk rekod P. Maniam berjaya menempatkan PJ City berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik selama dua musim berturut-turut meskipun perlu bersaing dengan kehadiran pemain import kelab lain.
Selain PJ City, P. Maniam pernah mengendalikan Selangor FC dan AirAsia FC.
Masa depannya bersama skuad Lembah Klang itu menjadi sebutan selepas PJ City berkemungkinan tidak akan bersaing dalam Liga Super pada musim depan ekoran masalah kewangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram