Ujian getir di Paroi, Brendan Gan titip pesanan penting buat Selangor dan rakan-rakan


  • Podium
  • Khamis, 10 Nov 2022

Brendan Gan tidak mahu rakan sepasukannya terlalu memikirkan mengenai kemampuan pasukan lawan. — Facebook/Selangor FC

KEMENANGAN yang dilakar Selangor FC ketika aksi pertama suku akhir Piala Malaysia berdepan Negeri Sembilan FC menjadi bekalan selesa buat Gergasi Merah.

Dua gol yang dijaringkan Herlison Caion dan Alifh Haiqal jelas memberi kelegaan selepas anak-anak buah Tan Cheng Hoe bijak menggunakan peluang ketika berdepan 10 pemain skuad Jang.

Namun, di sebalik kegembiraan yang dirasakan itu, penyokong berasa sedikit gusar apabila kapten pasukan, Brendan Gan dilihat mengalami sedikit kecederaan.

Situasi itu kelihatan sedikit merisaukan apabila barisan kejurulatihan mengambil keputusan untuk mengeluarkannya pada minit ke-78 bagi mengelak masalah itu menjadi lebih teruk.

Bagaimanapun, pemain berusia 34 tahun itu menegaskan dia sudah pulih daripada kecederaan tersebut selain mampu menyertai sesi latihan.

"Ya, ini merupakan hari pertama saya pulang daripada fasa pemulihan. Ia merupakan satu musim yang panjang, jadi ia satu perkara yang baik apabila ketua jurulatih memberi peluang untuk berehat sebentar.

"Saya harap ia akan dapat membaiki sedikit masalah dialami pasukan kerana ia bukanlah perlawanan yang sempurna buat kami kerana terdapat sedikit kesilapan perlu dielakkan daripada berulang," katanya kepada Majoriti.

Dia berkata demikian ketika ditemui di padang latihan Selangor FA, Shah Alam, Selangor menjelang persiapan aksi kedua suku akhir Piala Malaysia pada Sabtu.

314166147_556152126516520_8286301400879789758_n

Penyokong mula meletakkan harapan tinggi buat Selangor FC dalam kempen Piala Malaysia. Facebook/Selangor FC

Musim ini, Brendan diberi kepercayaan oleh barisan kejurulatihan untuk mengepelai pasukan meskipun baru sahaja sembuh daripada kanser testis yang dialami sejak 2021.

Bagaimanapun, pemain kacukan Malaysia-Australia itu jelas menjadi tonggak pasukan dengan menyuntik perubahan buat juara 33 kali Piala Malaysia itu dari segi semangat dan motivasi.

Selain itu, sumbangannya di atas padang juga tidak kurang hebatnya apabila dia berjaya menjaringkan lima gol dalam Liga Super dalam membantu pasukan itu menamatkan saingan di tangga kelima.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai tekanan yang dihadapi pasukan, Brendan menegaskan pemain Selangor FC perlu yakin akan kemampuan tersendiri selain tidak sepatutnya berasakan gentar akan ancaman pihak lawan.

"Saya tengok semula perlawanan itu dan saya tidak diturunkan atau berada di bangku simpanan dan saya rasa kami sememangnya kurang bernasib baik kerana pasukan berjaya menguasai permainan.

"Jadi, kami akan turun pada perlawanan Sabtu ini dengan keyakinan, saya memberi pesanan kepada rakan sepasukan untuk percaya pada diri sendiri dan fokus kepada apa yang mampu kita lakukan," katanya.

Kali terakhir Selangor FC berkunjung ke Paroi adalah pada pertembungan Liga Super April lalu dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam satu perlawanan yang mendebarkan.

Selangor FC bakal bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan dalam usaha menempah tiket ke separuh akhir selepas kali terakhir mara ke peringkat itu pada 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram