SATU gol yang dijaringkan Sabah FC menerusi pemain tengah, Baddrol Bakhtiar ketika pertembungan dengan Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia memberi sedikit kelegaan buat skuad Sang Badak.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak pada Sabtu itu menyaksikan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mengawal permainan dengan menghalang percubaan dibuat skuad The Cats.
Bagaimanapun, skuad Sang Badak dilihat gagal untuk melakukan asakan berbahaya di hadapan pintu gol lawan berikutan ketumpulan jentera serangan.
Kekurangan pilihan di posisi penyerang dikatakan antara punca di atas ketempangan pasukan itu dengan pemain import, Jose Embalo masih belum diturunkan sejak aksi Liga Super bersama Selangor FC September lalu.
Selain itu, kecederaan yang dialami pemain sayap kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani juga memaksa Baddrol untuk menggalas tanggungjawab di posisi sayap kiri.
Perkara itu serba sedikit merencatkan rancangan awal yang dilakukan Kim Swee, lebih-lebih lagi kehadiran Saddil di atas padang jelas menyuntik perubahan buat skuad The Rhinos.
Namun, penyokong mula menghela nafas lega apabila kelibat pemain berusia 23 tahun itu mula kelihatan dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Sabah FC pada Rabu.
Saddil dilihat menyertai sesi latihan Sabah FC selepas difahamkan mengalami kecederaan sebelum ini. — Facebook/Sabah FC
Kehadirannya itu berjaya menghadirkan perasaan gembira dalam kalangan penyokong yang percaya Saddil mampu diturunkan ketika pertemuan di Stadium Likas, Sabah pada Jumaat.
"Harap dapat bermain ketika bertemu Kuching City di Likas nanti," kata Pai Ulung.
"Ya, lipas kudung Sabah FC sudah melakukan persembahan semula, mantap Saddil," kata Tom Bee Ruo.
"Syukur, apa-apa pun keputusan yang Saddil buat, kami akan sokong. Berkerjaya di Eropah bukanlah peluang yang kerap hadir, tetapi untuk kekal bersama Sabah FC yang sedang tertekan dalam mengekalkan pemain terbaik, kami sangat bersyukur.
"Semoga Sabah FC tidak mensia-siakan keputusan Saddil dan jika dia tetap kekal, tetaplah jaga kebajikannya dalam kelab itu," kata Norbet Cheng Pelaquez.
Pemain kebangsaan Indonesia itu merupakan antara watak penting buat Sabah FC ketika mereka bersungguh-sungguh mengejar slot ke Piala AFC musim depan selepas menjaringkan empat gol dan mencipta enam hantaran dalam 17 perlawanan.
Dia sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Eropah selepas terdapat laporan mengatakan kelab divisyen bawahan Austria tertarik akan kebolehannya.
Bagaimanapun, dengan terdapat juga desas-desus di media sosial bahawa pihak pengurusan Sang Badak sedang giat menawarkan kontrak lanjutan buatnya selepas mengharungi satu musim debut yang cemerlang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram