SELEPAS mencatatkan kemenangan demi kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United akhirnya tersungkur ketika berdepan Aston Villa pada Ahad.
Kekalahan 1-3 yang dialami di tempat lawan itu merencatkan kemaraan mereka untuk menduduki tangga tempat teratas sebelum Piala Dunia membuka tirainya 21 November ini.
Bagi pengurus pasukan, Erik Ten Hag, dia tidak teragak-agak untuk memberi kritikan hebat terhadap pendekatan taktikal yang diambil selain melihat barisan pemainnya gagal untuk mematuhi arahan.
"Saya rasa ia (taktikal) adalah satu perkara yang bodoh kerana pemain terlalu tergopoh-gopoh untuk melakukan hantaran lintang dan sukar untuk memberi peluang keemasan kepada penyerang, Cristiano Ronaldo," katanya.
Dalam pertembungan di Stadium Villa Park itu, skuad kendalian Unai Emery tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan pembukaan menerusi pemain sayap, Leon Bailey pada minit ketujuh.
Mereka kemudian menggandakan kelebihan menerusi sepakan percuma cantik daripada bek kiri, Lucas Digne yang pastinya memberi kebuntuan kepada skuad The Red Devils.
Walaupun terdapat percubaan untuk mengikat semula kedudukan, jaringan Jacob Ramsey pada minit ke-49 memastikan Manchester United mengalami kekalahan keempat mereka musim ini.
Ten Hag tidak asing dalam memberi kritikan kepada pemain dan anak-anak buahnya. — Agensi
Sementara itu, Ten Hag turut melabel anak-anak buahnya sebagai 'degil' apabila mereka ketinggalan dengan dua gol pada minit ke-11 sehingga mengganggu perancngan yang diatur.
"Saya sudah lama dalam sukan ini dan saya sememangnya faham bahawa pemain adalah manusia dan bukannya robot. Kadang kala, perkara sebegitu sememangnya boleh berlaku.
"Tetapi, pada saya, ia tidak boleh diterima kerana anda perlu faham bahawa pasukan akan bersedia untuk setiap perlawanan dan tidak boleh tewas seawal itu," tegasnya.
Pengurus kelahiran Belanda itu sebelum ini pernah menyelar pemainnya ketika Manchester United tewas 3-6 di tangan seteru setempat, Manchester City Oktober lalu.
Ten Hag mengambil keputusan untuk menurunkan pemain antarabangsa Belanda, Donny van de Beek ketika bertemu Aston Villa berikutan ketiadaan tonggak pasukan, Bruno Fernandes selepas mengutip lima kad kuning sebelum ini.
Jelas Ten Hag, kehilangan pemain antarabangsa Portugal itu juga sedikit sebanyak mengganggu percaturannya selepas Fernandes berjaya menjaringkan dua gol dalam 12 perlawanan EPL.
Ketika ini, Manchester United menduduki tangga kelima dan hanya tiga mata dibezakan dengan Tottenham Hotspur yang juga mencatatkan kekalahan di laman sendiri ketika bertemu Liverpool.
Skuad kendalian Ten Hag itu selepas ini bakal berdepan Aston Villa sekali lagi pada Jumaat di laman sendiri dalam pusingan ketiga Piala Liga sebelum berkunjung ke Stadium Craven Cottage pada 14 November dalam misi mendapatkan tiga mata penuh daripada Fulham. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram