Bukan sahaja lincah di padang, 5 bintang bola sepak pernah cuba nasib di dunia seni


  • Hiburan
  • Khamis, 20 Okt 2022

Lima bintang bola sepak negara yang pernah berlakon dalam filem dan drama tempatan.

SATU daripada tarikan sesebuah filem atau drama selain daripada senarai pelakon ialah daya penarik untuk mengajak penonton ke panggung.

Formula daya penarik itu akhirnya membawa kepada pemilihan bintang bola sepak untuk memegang peranan dalam filem.

Tak kisah sama ada watak utama atau sekadar cameo, penonton pasti teruja untuk melihat bintang mereka beraksi bukan di padang bola, tetapi di layar perak.

Bintang bola sepak antarabangsa seperti Zinedine Zidane, David Beckham, Ronaldo dan Ronaldinho antara yang pernah membuat penampilan istimewa dalam filem.

Untuk pemain bola sepak tempatan ada tak yang pernah muncul dalam filem? Berikut Majoriti senaraikan lima karya seni yang pernah dibintangi pemain bola sepak tempatan.

WhatsApp Image 2022-10-19 at 7.23.24 PM

Khairul Fahmi Che Mat

Meniti kegemilangan sebagai penjaga gol terbaik negara pada 2010, nama Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek mula menjadi sebutan ramai.

Sejak daripada itu, dirinya mula diintai pelbagai pihak sehinggalah Kelantan FA membikin satu filem berjudul Jejak Warriors pada 2015 yang menampilkan Apek yang menjadi idola buat watak utama dalam filem itu.

Selain Apek, turut sama tampil dalam filem itu turut menampilkan bekas pemain Kelantan FA seperti Indra Putra Mahayuddin, Shakir Shaari dan Nurul Azwan Roya.

Datuk Mokhtar Dahari

Menjadi pemain yang kekal diingati hingga bergelar legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari pernah tampil dalam filem Mekanik yang disiarkan pada 1983.

Menerusi filem itu, Mokhtar sekadar membuat penampilan istimewa yang mana dia ditahan pihak berkuasa sebelum dikenakan saman.

Menariknya dalam adegan tersebut, turut disertakan kejohanan Pesta Bola Merdeka yang kali terakhir dianjurkan negara pada 2013.

WhatsApp Image 2022-10-19 at 7.18.20 PM (1)

Datuk Soh Chin Ann

Seorang lagi legenda bola sepak negara yang sezaman dengan Mokhtar Dahari iaitu Datuk Soh Chin Ann juga pernah membuat penampilan istimewa dalam filem.

Penampilan istimewa itu dibuat menerusi filem Ola Bola yang ditayangkan pada 2016.

Dalam filem itu Chin Ann melakonkan watak Chow Kwok Keong, peranan utama dalam filem itu ketika sudah berusia.

Datuk Zainal Abidin Hassan

Selain pernah menjadi juri untuk program lawak di televisyen, Zainal Abidin Hassan yang kini merupakan ketua jurulatih Penang FC pernah membuat penampilan istimewa dalam filem Kolej 56 yang ditayangkan pada 1989.

Menerusi filem itu, Zainal Abidin memegang watak sebagai pemain import dari Afrika bagi pasukan lawan kepada Putra College dalam satu perlawanan bola sepak.

Zainal Abidin dalam filem itu turut mempamerkan aksinya mengelecek bola dan menjaringkan gol yang tidak disahkan pengadil.

WhatsApp Image 2022-10-19 at 7.21.07 PM

Akmal Rizal Rakhli

Bintang bola sepak yang pernah beraksi untuk Kedah, Akmal Rizal Rakhli juga pernah terlibat dalam dunia lakonan.

Akmal Rizal yang pernah beraksi untuk kelab di luar negara sepanjang karier bola sepaknya tampil dalam drama berjudul Klon pada 2013.

Drama itu menampilkan Akmal Rizal sebagai seorang tenaga pengajar bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram