Chelsea pilihan terakhir bintang buangan EPL


  • Podium
  • Selasa, 25 Okt 2022

Chelsea berada dalam prestasi konsisten di liga dan saingan UCL ketika ini. — Agensi

PERMULAAN musim yang mengecewakan buat Manchester United akhirnya berjaya dipadam apabila skuad The Red Devils berjaya menduduki tangga keenam selepas 11 perlawanan.

Kemenangan yang dilakar ketika pertemuan bersama kelab-kelab besar, seperti Arsenal dan Liverpool membuktikan sentuhan pengurus Belanda, Erik Ten Hag mula membuahkan hasil.

Namun, di sebalik kejayaan itu, muncul satu perkara yang tidak diingini apabila bintang pasukan, Cristiano Ronaldo seakan-akan bertindak mengeruhkan suasana.

Dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), pemain berusia 37 tahun itu hanya memulakan dua perlawanan dengan satu gol berjaya dijaringkan setakat ini.

Perkara itu pastinya menyekat hasratnya untuk membantu kelab itu dalam usaha mereka mengejar slot kelayakan ke Liga Juara-juara UEFA musim depan atau meraih sekurang-kurangnya satu trofi.

Bagaimanapun, dengan hubungan semakin tegang antara pemain dan pengurus itu, Cristiano Ronaldo dilihat semakin hampir untuk meninggalkan pasukan itu.

Beberapa laporan kebelakangan ini menyatakan bahawa satu lagi kelab EPL, Chelsea mula menunjukkan minat terhadap pemenang lima kali anugerah Ballon D'Or itu.

71666320727_CristianoRonaldo

Cristiano Ronaldo dikhabarkan tidak gembira di bawah pengurusan Ten Hag musim ini. Agensi

Gosip perpindahan itu sebelum ini pernah didengari apabila bekas penyerang Real Madrid itu menyatakan hasrat untuk meninggalkan Stadium Old Trafford berikutan pencapaian pasukan yang kurang memberangsangkan musim lalu.

Pemiliknya, Todd Boehly sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk melihat pemain antarabangsa Portugal itu menyarung jersi The Blues ketika jendela perpindahan lalu.

Tetapi, keengganan bekas pengurus pasukan, Thomas Tuchel untuk membawa masuk pemain tersebut ke dalam skuad menyaksikan Ronaldo kekal di The Red Devils.

Selain itu, hubungan baik pemilik itu dengan ejen Cristiano Ronaldo, Jorge Mendes seakan-akan membuka pintu kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu tersebut.

Tambahan pula, ketumpulan barisan serangan The Blues pastinya mampu diisi dengan kehadiran pemain itu apabila Romelu Lukaku meninggalkan pasukan tersebut secara pinjaman ke kelab Itali, Inter Milan.

Ketika ini, pasukan London itu menduduki tangga kelima liga dan masih berpeluang cerah untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati UCL dengan tujuh mata berjaya dikumpul dalam kejohanan itu setakat ini.

Bagaimanapun, persoalan juga timbul apabila permintaan gaji Ronaldo yang tinggi pasti sukar untuk memeterai perjanjian itu dengan Chelsea ketika ini menanggung bayaran tinggi daripada setiap pemain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram