'Otai' Liverpool idam beraksi bersama 'playmaker' The Citizens


  • Podium
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Van Dijk berpengalaman beraksi bersama beberapa pemain terbaik dunia sejak beraksi di Liverpool. — Agensi

PEMAIN pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk menamakan bintang Manchester City, Kevin De Bruyne sebagai pemain bukan The Reds yang paling diinginkan untuk beraksi bersama di Anfield.

Sejak berpindah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim panas 2015 selepas menyertai Southampton FC dari gergasi Scotland, Celtic FC, Van Dijk berpengalaman beraksi bersama beberapa pemain terbaik dunia.

Dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, pemain antarabangsa Belanda itu berjaya membuktikan dirinya sebagai salah satu bek tengah terbaik dalam bola sepak.

Selepas ketibaannya di Liverpool pada 2018, Van Dijk memenangi sejumlah tujuh trofi selain dijulang sebagai Pemain Terbaik PFA dan anugerah Pemain Terbaik UEFA bagi 2018/19.

Salah satu saingan terbesar Van Dijk dan Liverpool pada masa itu tentunya Manchester City.

skysports-virgil-van-dijk-premier-league_5463702

Van Dijk berpengalaman beraksi bersama beberapa pemain terbaik dunia. — Agensi

Skuad The Citizens kendalian Pep Guardiola hanya memenangi empat daripada 15 pertemuan sejak Van Dijk menyertai Liverpool. The Reds pula memenangi tujuh perlawanan.

Bagaimanapun, Manchester City berjaya memenangi tiga gelaran EPL berbanding Liverpool yang merangkul satu kejuaraan.

Bercakap kepada pengulas sukan yang juga bekas pemain EPL, Gary Neville di The Overlap, Van Dijk mendedahkan dia mahu beraksi dengan De Bruyne.

Ini selepas pemain berusia 31 tahun itu diminta oleh Neville untuk memilih seorang bintang yang dia paling teringin untuk bermain bersama namun belum berkesempatan berbuat demikian.

Bek tengah yang memiliki ketinggian 1.93 meter itu menyifatkan jika De Bruyne bermain di Liverpool, mereka pasti mampu pergi lebih jauh daripada apa yang dikecapi sekarang.

"Saya rasa dia seorang pemain yang cukup cemerlang. Dia bagus ketika mengasak dan menjaringkan gol. Dia mempunyai segala-galanya sebagai pemain tengah moden dan pemain bola sepak secara amnya," kata Van Dijk.

kdb_2

Pemain dari Belgium ini terkenal sebagai playmaker dengan keupayaan hantaran luar biasa. — Agensi

Pendapat itu sukar disangkal kerana De Bruyne sememangnya memegang status sebagai antara pemain bola sepak terbaik dunia ketika ini.

Pemain dari Belgium itu terkenal sebagai playmaker dengan keupayaan hantaran luar biasa yang mampu memecah-belah pertahanan paling kukuh.

Musim terbaiknya, secara statistik, adalah pada 2019/20, apabila dia memberi 20 bantuan luar biasa dalam hanya 35 penampilan.

De Bruyne juga sedang berusaha menghampiri jumlah itu pada musim ini, dengan sembilan bantuan gol menerusi 12 perlawanan pembukaan setakat ini.

Dia juga berkebolehan sebagai penjaring dengan 15 gol yang dicetak pada kempen lalu, iaitu catatan terbaik sepanjang musim.

De Bruyne yang memiliki ketinggian 1.81 meter juga mempunyai fizikal sempurna, agresif selain boleh melakukan sepakan percuma seperti yang dilakukan ketika menentang Leicester, sekali gus membolehkan The Citizens menang 1-0.

Adakah Liverpool akan memenangi lebih banyak trofi dengan De Bruyne dalam pasukan? Nampak gayanya ia tidak mustahil jika pemain itu dibawa masuk ke The Reds ketika jendela perpindahan seterusnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram