KEMENANGAN Manchester United dengan skor 2-0 di laman sendiri ketika bertemu pasukan di tangga ketiga, Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dicemari insiden kurang senang daripada penyerang legenda, Cristiano Ronaldo.
Pemain kelahiran Portugal itu mengambil keputusan untuk pulang ke bilik persalinan sebelum wisel penamat ditiup apabila pengurus pasukan, Erik Ten Hag memilih untuk tidak menurunkan Ronaldo dalam perlawanan itu.
Hal itu dilihat mengeruhkan suasana harmoni yang cuba dicipta dalam usaha membawa pulang zaman-zaman kegemilangan ke Old Trafford selepas bertahun-tahun bergelut dalam bayang-bayang sendiri.
Sejak insiden itu, Manchester United bertindak mengeluarkan satu kenyataan rasmi dengan mengatakan Cristiano Ronaldo tidak akan tampil dalam perlawanan EPL selepas ini ketika bertemu Chelsea pada Ahad.
Lebih teruk lagi, pemain berusia 37 tahun itu juga bakal dipaksa untuk melakukan sesi latihan secara persendirian bagi mengelak pengaruh kurang senang terhadap rakan sepasukan.
Ronaldo dilihat menuju ke bilik persalinan sebelum wisel penamat. — Agensi
Ronaldo sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk meninggalkan The Red Devils ketika jendela perpindahan lalu susulan kegagalan kelab itu untuk layak ke pentas Liga Juara-juara UEFA (UCL).
Selain itu, prestasi tidak memberangsangkan daripada Manchester United sejak kepulangan pemain itu mengundang pelbagai spekulasi dengan ada pihak mengatakan bekas pemain Real Madrid dan Juventus itu membawa aura negatif dalam pasukan.
Oleh itu, ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan sekiranya kedua-dua pihak memutuskan untuk membawa haluan masing-masing bagi kebaikan tersendiri.
Namun, apakah pilihan yang dimiliki pemenang anugerah Ballon D'Or itu sekiranya dia benar-benar memilih untuk berhijrah ketika jendela perpindahan musim sejuk pada Januari nanti?
1. Mencari pembeli sesuai
Meskipun usia Ronaldo akan menganjak 40-an tidak lama lagi, sumbangan dan tahap kecergasannya masih berada dalam keadaan terbaik apabila dengan mudah menjaringkan 18 gol dalam liga musim lalu.
Namun, musim ini, dengan Ten Hag cenderung untuk menggunakan khidmat Anthony Martial di bahagian serangan, jumlah jaringannya sedikit terjejas dengan hanya satu gol berjaya dijaringkan dalam saingan EPL.
Perkara itu serba sedikit menjejaskan minat kelab luar untuk mengikatnya apabila mereka pasti lebih cenderung untuk mencari bakat lebih muda bagi jangka masa panjang.
Ronaldo masih mampu untuk mencari kelab baharu yang sesuai seperti beberapa pasukan di Timur Tengah atau Amerika Syarikat dengan struktur kewangan yang kukuh.
Di samping itu, beberapa kelab Eropah seperti Bayern Muncih dan Atletico Madrid sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mendapatkan Ronaldo tatkala dia menyatakan hasratnya secara terbuka.
Bagi menarik lebih banyak pembeli, Ronaldo juga boleh memilih untuk mengurangkan permintaan gaji dalam usaha mendapatkan lebih banyak minit permainan, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai pemain terbaik dalam sejarah bola sepak.
2. Sertai Lionel Messi
Tidak boleh dinafikan, sembilan tahun yang diluangkan Cristiano Ronaldo bersama gergasi Sepanyol, Real Madrid membantu menaikkan namanya dalam sukan itu.
Selain sumbangan dan persembahannya di atas padang, saingan sihat antara dirinya dan seorang lagi ikon bola sepak, Lionel Messi menjulang kedua-dua pemain itu.
Kini, mereka menghadapi nasib serta beraksi dengan pasukan yang berbeza selepas Messi meninggalkan Barcelona untuk sertai kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).
Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo merupakan ikon bola sepak. — Agensi
Sejak berada di kelab itu, pemain antarabangsa Argentina itu memiliki rakan sepasukan bertaraf bintang, termasuk Kylian Mbappe dan Neymar dalam usaha mereka memenangi trofi UCL buat pertama kali.
Namun, kesemua daripada mereka tidak boleh dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo apabila mereka berpeluang untuk bergandingan buat pertama kali dalam karier masing-masing.
PSG juga pastinya tidak mempunyai masalah dari segi kewangan dengan pelaburan besar daripada negara Timur Tengah, Qatar dan beberapa syarikat lain.
Persoalannya, mampukah CR7 menundukkan egonya untuk bersama sebuah pasukan yang kaya dengan pemain hebat selain mempunyai potensi untuk diletakkan di bangku simpanan?
3. Menamatkan kontrak bersama The Red Devils
Ketika ini, menurut laporan rasmi, Cristiano Ronaldo terikat dengan pasukan England itu sehingga Jun 2023, iaitu selepas saingan EPL melabuhkan tirainya.
Situasi genting di antara kedua-dua pihak itu pastinya menolak sebarang kemungkinan buat penyerang berbisa itu untuk melanjutkan kontraknya buat beberapa tempoh lagi.
Bagaimanapun, dengan adanya kelonggaran dalam kontrak bola sepak, seorang pemain mempunyai pilihan untuk menebus ikatan dengan kelab masing-masing untuk membolehkannya mencari skuad baharu.
Walaupun ia dilihat bakal merugikan penyarung jersi no. 7 itu dari segi kewangan, perasaan kurang senang antara pemain dan kelab pasti menghadirkan idea itu.
Selain itu, ketika jendela perpindahan yang lalu, terdapat juga ura-ura mengatakan Cristiano pernah meminta pihak pengurusan Manchester United menamatkan kontraknya serta merta.
Namun, keengganan untuk melakukan perkara itu menyebabkannya berasa tidak gembira sehingga mengakibatkan keretakan dengan pengurus kelahiran Belanda itu.
4. Menerima hakikat dan bekerjasama bersama Ten Hag
Usia Ronaldo ketika ini menjadi antara punca utama pemain itu disisihkan daripada kesebelasan utama apabila gaya permainan Ten Hag lebih menekankan keadaan fizikal.
Meskipun segelintir peminat berpendapat Ronaldo mampu diturunkan pada minit-minit akhir perlawanan, keputusan bekas pengurus Ajax itu kelihatan sukar untuk dirunding.
Mampukah kedua-dua mereka memaafkan antara satu sama lain? — Agensi
Selain itu, kemunculan semula Marcus Rashford dan beberapa pemain muda yang lain memberi lebih banyak pilihan buat Ten Hag sekiranya dia memilih untuk melakukan perubahan drastik.
Oleh itu, Ronaldo juga mempunyai pilihan yang sedikit kurang munasabah dengan dia mampu untuk menyuarakan perasaan maaf terhadap Ten Hag berikutan insiden itu.
Di samping itu, pemain antarabangsa Portugal itu juga perlu menerima hakikat bahawa sumbangannya di atas padang sudah semakin terhad dan perlu memberi bimbingan kepada ubi-ubi muda. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram