Serangan masih tumpul, Liverpool patut sambar Neymar Ukraine


  • Podium
  • Khamis, 27 Okt 2022

Gandingan Salah dan Firmino tidak cukup berbahaya untuk memecahkan pertahanan lawan musim ini. — Agensi

DI sebalik kemenangan 3-0 ke atas Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara dan mara ke kelompok 16 terakhir, Liverpool diselubungi masalah ketajaman serangan.

Kecederaan tonggak pasukan itu baru-baru ini menunjukkan walaupun Jurgen Klopp memiliki beberapa pilihan yang menggerunkan di bahagian serangan, The Reds masih kekurangan seorang dua tonggak di posisi tersebut.

Perpindahan Takumi Minamino dan Divock Origi pada musim ini menyebabkan Liverpool agak tumpul di bahagian hadapan yang mana Klopp hanya dapat memilih dua penyerang utama iaitu Mohamed Salah dan Roberto Firmino untuk diturunkan.

Gandingan duo itu tidak cukup berbahaya untuk memecahkan pertahanan lawan. Sehubungan itu, jendela perpindahan pada Januari depan harus dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mengisi kelompangan jentera serangan.

GettyImages-1376696602

Perpindahan Minamino ke AS Monaco menyebabkan Liverpool agak tumpul di bahagian hadapan. — Agensi

Pemain sensasi terbaharu dalam Liga Juara-Juara musim ini ialah Mykhaylo Mudryk. Pemain sayap berusia 21 tahun itu menarik perhatian selepas membuat jaringan solo ketika menentang Celtic pada awal pagi Rabu.

Dengan enam jaringan dan tujuh bantuan gol menerusi 11 perlawanan, Mudryk menembusi arus perdana dalam sekelip mata.

Pemain skuad antarabangsa Ukraine itu akhirnya diberi penarafan tinggi sejak sekian lama selepas bergelut untuk menempatkan diri dalam skuad utama Shakhtar Donetsk kerana perlu bersaing dengan pemain lain yang lebih bagus.

Memiliki kelajuan dan kelincahan di atas padang, Mudryk mampu menyudahkan serangan dengan kaki kanannya yang kuat. Dia juga boleh membelah pertahanan masuk ke kawasan penalti untuk menyudahkan hantaran lintang yang menyebabkan dia menerima jolokan 'Neymar Ukraine'.

Mudryk dilihat sangat sesuai dengan taktikal Klopp. Dia mampu menyuntik nafas baharu dalam serangan Liverpool sekali gus bersinar di Anfield.

0_GettyImages-1243228747

Mudryk dirasakan dapat mengisi kelompangan di bahagian serangan Liverpool. — Agensi

The Reds juga dikaitkan dengan tonggak Arsenal, Fabrizio Romano yang dilaporkan bakal ditandatangani pada Januari tahun depan dengan nilai perpindahan £40 juta (RM218 juta).

Dalam hal ini, Pengarah Sukan Liverpool, Julian Ward bakal berdepan cabaran untuk mendapatkan Mudryk kerana Shakhtar Donetsk dikatakan sering menuntut bayaran berlebihan untuk pemain mereka.

Sebelum ini, Liverpool bergelut untuk mendapatkan perjanjian dengan kelab itu seperti yang berlaku kepada Alex Teixeira Santos pada jendela perpindahan Januari 2016.

Ward perlu melakukan lebih baik daripada pengarah terdahulu untuk mendapatkan Mudryk. Jika dia boleh berbuat demikian, Liverpool akan memiliki pemain yang mampu mengubah permainan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram