'Mungkin MUFC, Sarawak United tidak perlu tunggu 2, 3 tahun'


  • Podium
  • Ahad, 06 Nov 2022

Zulakbal tidak menolak kemungkinan bahawa bakal terdapat perubahan keputusan yang dibuat MFL kepada kedua-dua pasukan.

PIHAK Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini pada Selasa bertindak tegas dengan menyekat penyertaan dua kelab, Melaka United dan Sarawak United daripada menyertai liga teratas domestik musim depan.

Tindakan itu dibuat susulan kegagalan kedua-dua pasukan Liga Super tersebut untuk menyerahkan dokumen yang diperlukan dalam memperolehi lesen kebangsaan.

Keputusan itu dilihat sebagai setimpal terhadap pihak pengurusan masing-masing apabila pelbagai isu timbul sepanjang musim, termasuk masalah tunggakan gaji dan pengurusan.

Bagaimanapun, mereka masih mampu bertanding dalam arena bola sepak tempatan apabila MFL turut mengumumkan Melaka United dan Sarawak United masih layak bersaing secara amatur di Liga M3.

Walaupun kegagalan kedua-dua pasukan itu dilihat bakal mengecewakan penyokong masing-masing, mereka melihat ia sebagai satu pendekatan setimpal selepas berang akan sikap lepas tangan setiap pihak.

Mereka turut menjangkakan kepulangan setiap kelab ke Liga Super bakal memakan satu tempoh yang lama dengan penstrukturan dan penjenamaan semula bakal dilakukan bahagian pengurusan.

Namun, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, dia melihat perubahan kerajaan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bulan ini bakal membawa berita berbeza.

"Saya fikir, bagi sesiapa yang bakal memimpin nanti, mereka akan menggunakan bola sepak sebagai pengaruh politik untuk mendapatkan sokongan daripada orang ramai.

"Jadi, salah satu cara untuk mendapatkan pengaruh adalah dengan memajukan sukan itu dan saya fikir MFL akan memberi semula pertimbangan semula," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, dia juga percaya kedua-dua pasukan, terutama Melaka United masih bergantung dengan campur tangan kerajaan negeri meskipun sudah menerima status sebagai kelab bola sepak.

Sebelum ini, Zulakbal pernah menyuarakan pendapatnya dengan menyokong tindakan MFL apabila keputusan itu membuktikan ketegasan First Instance Body (FIB) dalam mengelakkan isu sebegitu berulang.

Tetapi, dia turut berpendapat perubahan masih boleh berlaku apabila melihat persatuan tersebut sebagai medium dalam menambah baik kualiti dan kemampuan sukan tersebut dalam negara.

"Jadi, mungkin kita tidak perlu tunggu sehingga dua, tiga tahun kerana MFL ini sememangnya tugas mereka untuk mengimarahkan bola sepak seluruh negara," tegasnya.

Awal bulan lalu, Majoriti pernah melaporkan bahawa bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir melihat tiada sebab untuk menolak kemungkinan akan ada perubahan peraturan daripada MFL.

Pendapat tersebut disuarakan apabila melihat terdapat individu berpengaruh di sebalik kedua-dua pasukan dari aspek pentadbiran serta pengurusan.

Statement-2022-SWU-MEL

Melaka United dan Sarawak United bakal kempunan aksi Liga Super musim depan. MFL

"Bila dah keluar memang susah nak masuk balik Liga Super lebih-lebih lagi dengan format baharu yang sudah tidak ada Liga Perdana. Tapi perlu ingat, undang-undang adalah ciptaan manusia dan boleh dipinda.

"Timbalan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi merupakan orang kuat FAM dan situasi sama dengan SUFC. Jadi, kemungkinan perubahan terhadap peraturan itu boleh berlaku," jelasnya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu juga berasakan ketiadaan kedua-dua pasukan Liga Super itu sedikit sebanyak merencatkan perancangan awal MFL.

"Saya berpendapat keadaan yang melanda Sarawak United dan Melaka United memang menjejaskan perancangan awal MFL kerana kedua-dua pasukan ini sebenarnya pada awalnya pasukan yang berdaya saing," jelasnya.

Sejak pengumuman daripada MFL itu, kedua-dua pasukan dilihat gagal untuk keluar daripada kebuntuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Nur Azmi Ahmad mengumumkan nama baharu skuad Hang Tuah.

Pasukan itu musim depan bakal dikenali sebagai Harimau Melaka FC dan dikhabarkan bakal menyertai Liga M3 dengan menampilkan barisan pemain tempatan.

Bagi skuad Ngap Sayot pula, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais pula membuka ruang kepada orang ramai untuk menggalas tanggungjawab sebagai presiden. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram