PEMENANG Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) memulakan kempen suku akhir Piala Malaysia 2022 dengan melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu.
Kejayaan menewaskan The Red Warriors (TRW) di laman tuan rumah sudah cukup memberi bekalan selesa untuk pertemuan suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 11 November ini.
Kemenangan skuad Harimau Selatan itu dilakar menerusi jaringan dari penyerang berbisa Bergson da Silva dan Syafiq Ahmad pada separuh masa pertama.
Memasuki minit ke-74, Leandro Velazquez menambah derita buat kem tuan rumah apabila dia berjaya menjaringkan gol ketiga buat Harimau Selatan sekali gus mengesahkan kemenangan JDT.
Antara aksi Syafiq Ahmad pada perlawanan menentang Kelantan pada Sabtu. — Facebook/JDT
Mencuri perhatian pada perlawanan itu apabila penyerang JDT, Muhammad Syafiq Ahmad berjaya meledak gol pertamanya pada kempen Piala Malaysia kali ini.
Pemain berusia 28 tahun itu jelas tidak mensia-siakan peluang yang diberikan pengendali JDT, Hector Bidoglio apabila meletakkannya dalam senarai kesebelasan utama pada aksi tersebut.
Menurut Syafiq Ahmad, tandukannya pada minit ke-37 itu jelas membantu dalam menambah keyakinan dalam dirinya.
“Syukur alhamdulillah atas rezeki sebab saya dapat jaringkan gol dan juga saya sangat bersyukur kerana jaringan itu dapat beri peluang kepada JDT bawa tiga gol ke SSI.
“Setiap pemain bila dapat peluang bermain, ia akan beri menambah keyakinan.
“Untuk mendapatkan keyakinan sebagai penyerang apabila dapatkan jaringkan gol,” katanya ketika sesi temu bual bersama MFL selepas tamat perlawanan.
Jelasnya, apabila berjaya mendapatkan gol buat pasukan, ia akan memberi motivasi kepada pemain pada perlawanan berikutnya.
Keputusan perlawanan itu akan memberi kelebihan buat JDT, namun Kelantan FC bakal berdepan laluan sukar pada perlawanan suku akhir kedua di Iskandar Puteri nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram