MUFC, SUFC gagal layak beraksi di pentas Liga Super 2023


  • Podium
  • Selasa, 01 Nov 2022

Pasukan MUFC dan SUFC hilang dari radar Liga Super 2023 ekoran masalah kewangan yang menghimpit kelab terbabit. — MFL

HASRAT Melaka United FC (MUFC) dan Sarawak United FC (SUFC) untuk beraksi di pentas Liga Super 2023 tidak kesampaian selepas rayuan kedua-dua kelab itu untuk memohon Lesen Kebangsaan ditolak.

Malaysia Football League (MFL) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB), bermesyuarat dan membuat keputusan menolak rayuan kelab tersebut untuk memohon Lesen Kebangsaan.

Keputusan itu diumumkan kepada pasukan pada Selasa oleh Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Pelesenan, Mohamad Yasin Abdullah melalui pemakluman rasmi sekali gus menyaksikan MUFC dan SUFC tidak layak untuk beraksi dalam Liga Super 2023.

"AB telah mempertimbangkan rayuan MUFC dan SUFC berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan Lesen Kebangsaan bagi kitaran 2022 pada 12 Oktober 2022 selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022," katanya.

MUFC dan SUFC pada 12 Oktober lalu dikenakan hukuman tidak diberikan lesen untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2023 ekoran masalah kewangan yang melanda pasukan terbabit.

Bagaimanapun kedua-dua pasukan diberikan peluang mengemukakan rayuan sehingga 19 Oktober lalu dengan menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan diperlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram