NASIB Melaka United FC (MUFC) dalam arena bola sepak tempatan diketahui selepas pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pasukan itu tidak dibenarkan bersaing selepas gagal mengemukakan rayuan.
Isu pengurusan dan kewangan yang dialami sepanjang tahun menyaksikan beberapa edisi campur tangan pihak luar dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFAM) mendesak perkara itu diselesaikan.
Berdasarkan laporan media tempatan, pemain dan staf kejurulatihan skuad Hang Tuah dilaporkan tidak menerima bayaran sehingga lima bulan walaupun tidak henti-henti mengerah keringat dalam setiap perlawanan.
Namun, perkhabaran itu mula ditepis beberapa pihak dengan menegaskan bahawa kebajikan tulang belakang pasukan tidak terabai seperti yang dikatakan.
Untuk mendapatkan pengesahan akan perkara itu, Majoriti menghubungi salah seorang individu yang berkait rapat dengan pasukan Melaka United bagi mengelak berita tidak sahih terus menular di media sosial.
"Ya memang ada yang tidak terima bayaran sehingga lima bulan," katanya kepada Majoriti.
Tambah individu yang tidak mahu mendedahkan identitinya itu, dia juga sedih akan perkara itu kerana menganggap kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional adalah sumber rezeki.
Pendedahan bekas pemain Melaka United membuktikan perasaan kecewa penyokong terhadap skuad Hang Tuah.
Selain itu, pemain terbabit juga menegaskan bagi pasukan simpanan hanya akan dibayar berdasarkan perlawanan dengan kadar yang ditetapkan.
"Untuk pasukan belia Bawah 19 (B-19), pemain muda akan dibayar RM200 selepas setiap aksi di padang dan jika tiada perlawanan, pemain tidak akan dibayar," katanya.
Susulan kemelut yang melanda Melaka United, pasukan itu bakal mengalami perubahan apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pasukan itu bakal dikenali sebagai Harimau Melaka FC musim depan.
Di samping itu, skuad berkenaan juga akan dibarisi pemain tempatan serta dijangka beraksi dalam saingan Liga M3 selepas gagal memperolehi lesen kebangsaan berikutan masalah pengurusan dan kewangan.
Sementara itu, menurut salah seorang bekas pemain Melaka ketika dihubungi bagi mendapatkan pandangannya mengenai nasib pasukan itu ketika ini meletakkan kesilapan di pihak pengurusan sebagai punca masalah.
"Kejatuhan itu adalah atas sebab kesilapan pihak pengurusan sendiri dan mereka sememangnya patut terima hukuman dari MFL kerana masalah itu sudah didengari beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.
Pemain yang tidak mahu dikenali itu juga memberi kritikan hebat kepada cara pengurusan serta berpendapat hukuman yang dikenakan bakal mengelak perkara sebegitu dihadapi pemain lain.
"Saya lebih kasihan sekiranya setiap tahun isu tidak terima gaji berulang kerana ia tidak patut berlaku kepada pemain yang setiap hari bermandi peluh untuk pasukan," katanya.
Sejak masalah itu timbul, beberapa pemain mengambil keputusan untuk menyuarakan kekecewaan mereka dengan pemain pertahanan, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman pada Jumaat meluahkan perasaan hampa menerusi laman Facebook peribadinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram