Penyokong pelik, kenapa jurulatih berwibawa tidak tercalon Anugerah ABK


  • Podium
  • Ahad, 06 Nov 2022

Seramai 10 ketua jurulatih dicalonkan untuk membawa pulang anugerah berprestij itu. — Facebook/MFL

SELEPAS Liga Malaysia melabuhkan tirainya, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menganjurkan satu program anugerah untuk meraikan pemain dan staf kejurulatihan setiap pasukan.

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) yang dianjurkan setiap tahun merupakan platform badan bola sepak negara untuk menjulang nama individu sepanjang musim dan kali ini ia bakal berlangsung pada Disember ini.

Bagi penyokong pasukan masing-masing, mereka pasti ternanti-nanti untuk melihat tulang belakang kelab yang diminati membawa pulang kejohanan dalam kategori tersendiri.

Seperti yang dijangka, tumpuan semestinya diberi kepada anugerah buat pemain dengan kesemua posisi dilihat menerima pencalonan tersendiri.

Di samping itu, ABK turut diadakan untuk menghargai ketua jurulatih tempatan dan import selepas pencaturan mereka dilihat sebagai punca di sebalik pencapaian pasukan.

Antara nama-nama yang dicalonkan ialah ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain yang dikatakan mempunyai peluang cerah untuk membawa pulang anugerah itu selepas membawa skuad Sang Penyu muncul sebagai naib juara Liga Super.

1755156

Irfan Bakti berjaya mengubah reputasi Kuching City sepanjang kehadirannya sebagai ketua jurulatih. Facebook/Kuching City FC

Selain itu, pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak juga dilihat sebagai pilihan ramai apabila dia dan pasukannya berjaya mara ke peringkat akhir Piala AFC 2022.

Bagaimanapun, di sebalik pencalonan itu, segelintir penyokong mula meluahkan kekecewaan kerana ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim seperti tidak diiktiraf.

Sentuhan pengendali berusia 71 tahun itu sememangnya dirasai selepas kelab kerdil itu berjaya mengejutkan peminat bola sepak tempatan selepas menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan ketiga.

Pencapaian itu pastinya membanggakan selepas ia membolehkan skuad The Cats untuk layak ke liga teratas domestik secara merit walaupun tiada perubahan dilakukan pihak Malaysia Football League (MFL).

Oleh itu, tidak hairanlah apabila ketiadaannya antara 10 jurulatih yang dicalonkan dalam ABK dipersoalkan penyokong, lebih-lebih lagi apabila terdapat wajah yang kurang layak tersenarai.

"Sepatutnya Irfan Bakti yang bawa Kuching City FC tercalon juga kerana pasukan itu kelab kecil dan hanya menggunakan bajet kecil. Prestasi Irfan tahun ini bawa Kuching City ke Liga Super secara merit musim depan," kata Kamek Kaki Bola.

Bekas pengendali Terengganu FA dan Felda United itu sebelum ini pernah memenangi anugerah jurulatih terbaik 2011 selepas menjulang Piala FA dan muncul sebagai naib johan Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram