Jangan salahkan MFL, 'fans' Melaka United kecewa pengurusan berbelanja walau tak cukup duit


  • Podium
  • Khamis, 03 Nov 2022

Melaka United tidak akan dapat beraksi untuk Liga Super musim depan. — Facebook/Melaka United

LUAHAN rasa tidak puas hati pemilik kelab Melaka United (MU) terhadap keputusan Malaysian Football League (MFL) yang menolak permohonan pasukan itu untuk mendapatkan lesen kebangsaan bagi beraksi dalam Liga Super musim depan hanya mengundang kemarahan dalam kalangan penyokong.

Pemilik MU, Datuk Justin Lim dalam satu kenyataannya berkata, keputusan MFL itu hanya akan menjejaskan lagi masa depan kelab bola sepak Melaka kerana pasukan ini tiada lagi punca pendapatan jika tidak beraksi di Liga Malaysia.

313906498_2322607991254597_2607538125530973587_n (1)

Kenyataan yang dikeluarkan pemilik Melaka United, Datuk Justin Lim. — Facebook/Melaka United

"Apatah lagi buat masa ini terdapat pelabur-pelabur dan kesatria putih yang berminat untuk membeli Melaka United FC untuk menyelamatkan kelab bola sepak Melaka. Malang sekali, keputusan MFL ini mungkin akan memberi impak sebaliknya yang akan menjejaskan masa hadapan pekerja-pekerja dan pegawai-pegawai.

"Walaupapun, kami telah melakukan yang terbaik dalam usaha untuk mendapatkan lesen dan dari keputusan ini kami akan menilai semula keseluruhan situasi sebelum mengumumkan hala tuju kelab dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, rata-rata penyokong menganggap apa yang dikatakan Justin itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana masalah sebenar melibatkan pengurusan pasukan itu.

Seorang penyokong MU, Encik Pejey berkata, masalah melibatkan gaji pemain sudah banyak kali berlaku namun tiada sebarang tindakan penyelesaian diambil.

"Sembang nak salahkan MFL buat apa? Gaji itu patut dibayar. Siapa suruh ambil pemain pada awal musim macam tak ingat dunia?

305648846_2274781602703903_8385004802768802453_n (1)

Poster yang dikeluarkan pada 8 September lalu selepas pemain Melaka United tidak dibayar gaji. — Facebook/Melaka United

"Kalau tiada duit, ambil yang mampu sahaja. Pertengahan musim, sangkut (gaji). Bukan sekali, sudah bertahun-tahun tetapi masih tak sedar diri. Salahkan orang lain buat apa? Memang patut pun kena turun liga. Bagi sedar diri bajet sesuai bertanding di level mana," katanya.

Seorang lagi penyokong, Wan Daud turut mempertikai tindakan pengurusan yang berbelanja besar tanpa memikirkan masa depan.

"Kewangan tak kuat, tetapi nak ambil pemain bintang. Cuba ambil pemain muda yang berbakat. Pemain senior dalam lima ke enam orang dah cukup," katanya.

Seorang lagi penyokong, Hafiy Mat Isa pula berkata, adalah lebih baik jika MU dibubarkan terus.

"Buat kelab baru sahajalah. Selagi pengurusan ada pengaruh orang politik, macam inilah jadinya. Kelab yang dalam Liga Melaka bolehlah syarikat swasta ambil alih dan majukannya hingga masuk ke dalam Liga Super," katanya.

Terdahulu pada Selasa, MFL mengumumkan keputusan menolak rayuan MU untuk memohon lesen kebangsaan.

Keputusan itu menyaksikan MU tidak layak untuk beraksi dalam Liga Super musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram