Pengalaman Muslim belum mampu sekat kelincahan Sang Penyu — Penganalisis


  • Podium
  • Rabu, 02 Nov 2022

Kehadiran Muslim dalam benteng pertahanan Tok Gajah bukanlah kunci untuk menambah baik pasukan itu. — Facebook/Sri Pahang FC

SELEPAS mengakhiri saingan Liga Super di kedudukan ketujuh, Sri Pahang FC mempunyai semangat tinggi untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam Piala Malaysia.

Bagaimanapun, keazaman yang membara itu seakan-akan gagal dipamerkan di atas padang selepas mereka dibolosi sebanyak sembilan kali dalam aksi timbal balik bertemu Terengganu FC.

Keputusan itu pasti mendatangkan rasa kecewa buat penyokong skuad Tok Gajah yang tidak henti-henti meluahkan perasaan mereka di platform media sosial masing-masing.

Selain menyalahkan barisan kejurulatihan, mereka juga meluahkan amarah terhadap pemain yang diturunkan selepas dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam kedua-dua perlawnan itu.

Namun, nasib berbeza dihadapi pemain pertahanan veteran, Muslim Ahmad apabila rata-rata penyokong menunding jari terhadapnya atas keampuhan benteng pertahanan.

Meskipun hanya tampil ketika perlawanan pertama di Stadium Darul Makmur, ia tidak menghalang orang ramai untuk terus mengkritik bekas pemain kebangsaan itu.

Antara perkara yang dibangkitkan mengenai pemain tersebut adalah kegagalannya untuk menyekat jentera serangan Sang Penyu meskipun mempunyai pengalaman tersendiri dalam sukan itu.

Tetapi, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, dia berpendapat usia dan kemampuan Muslim ketika ini tidak setanding dengan kelincahan pemain Terengganu FC.

"Bagi saya, tidak nampak Muslim Ahmad itu sebagai pemain yang boleh diharapkan oleh Sri Pahang untuk mengemudi benteng pertahanan pasukan.

"Bagi menyekat pemain lawan yang lincah seperti Faisal Halim dan Kpah Sherman juga saya memang tak nampak tahap Muslim boleh diharapkan oleh Sri Pahang untuk mengawal atau menggunakan pengalamannya membendung mereka," katanya kepada Majoriti.

Muslim merupakan salah satu ikon bola sepak negara apabila dia antara pemain yang berada dalam skuad Harimau Malaya ketika menjuarai Piala AFF 2010 dan memenangi pingat emas dalam Sukan SEA 2009 serta 2011.

311876027_5724192700974710_8867089623403007289_n

Sri Pahang longlai dalam menyekat kemaraan skuad Sang Penyu dalam Piala Malaysia. Facebook/Sri Pahang FC

Selain itu, pemain berusia 33 tahun itu juga pernah mewakili beberapa pasukan tempatan termasuk Johor Darul Takzim (JDT) dan Kelantan FC, sekali gus meletakkan namanya sebagai salah seorang pertahanan kental di negara ini.

Bagaimanapun, musim ini, dia sering dijadikan kambing hitam pasukan atas kegoyahan pertahanan selepas pasukan itu dibolosi sebanyak 31 kali dalam Liga Super.

Dalam masa sama, Pekan juga mengakui bahawa dia sedikit terkejut ketika melihat keputusan yang dicatatkan skuad kendalian Datuk Dollah Salleh dalam kejohanan itu.

"Sebenarnya, saya sendiri pun agak terkejut jugalah dengan prestasi pasukan Pahang dalam Piala Malaysia kerana mereka dilihat begitu mudah dikecewakan oleh Terengganu.

"Kalau kita lihat, pasukan itu seperti tidak bersedia walaupun saya percaya persiapan rapi sudah dilakukan untuk bertemu dengan Terengganu dalam Piala Malaysia," katanya.

23122021_Dr_Pekan_Ramli_IPT_Facebook_pic (1)

Pekan mengakui dirinya terkejut dengan prestasi skuad Tok Gajah dalam Piala Malaysia. Facebook/UiTM

Selain itu, pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu melihat skuad juara Piala Malaysia empat kali itu seperti sudah kehilangan rentak dan gaya permainan.

"Sebenarnya, bagi saya, Terengganu bukanlah terlalu hebat sangat permainan mereka tetapi, saya nampak Pahang seperti tiada idea atau cara untuk menyekat serangan lawan," katanya.

Penyingkiran awal itu menyaksikan Sri Pahang sekali lagi gagal untuk tampil garang dalam kejohanan tersebut selepas musim lalu tidak berjaya untuk melepasi peringkat kumpulan.

Bagi Terengganu pula, kejayaan menempah slot ke suku akhir membolehkan mereka melangkah lebih berani selepas pasukan kendalian Nafuzi Zain itu kecundang dalam final Piala FA 2022.

Mereka dijadualkan untuk bertemu juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad ini sebelum menerima kunjungan lawan di laman sendiri 12 November nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram