Saya bangga dan terhutang budi dengan mereka — Nafuzi Zain


  • Podium
  • Rabu, 02 Nov 2022

Nafuzi turut memberi penghargaan kepada lebih 17,000 penonton yang sanggup sama-sama berhujan di SSMZA demi memberi sokongan kepada skuad Hitam Putih. — Facebook/TFC

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain berpuas hati selepas misi untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini tercapai.

Pujian itu katanya harus diberikan kepada anak buahnya yang bermain bermati-matian walaupun dalam keadaan hujan dan padang yang digenangi air dalam 'pertarungan' pada Selasa.

Malah pengendali kelahiran Kelantan itu turut menzahirkan penghargaan kepada lebih 17,000 penonton yang sanggup sama-sama berhujan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) demi memberi sokongan kepada skuad Hitam Putih.

"Bermain dalam hujan memerlukan lebih tenaga. Apatah lagi kita bermain dengan 10 orang dari awal separuh masa pertama selepas Shahrul Nizam (Shahrul Nizam Ros Hasni) dilayangkan kad merah.

"Tetapi setiap pemain yang diberi tanggungjawab menunjukkan semangat luar biasa dan bermain bermati-matian untuk menang, saya terhutang budi dan bangga dengan mereka," katanya pada sidang media selepas perlawanan timbal balik Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC di SSMZA pada Selasa.

TFC

Skuad Penyu menang 4-2 pada perlawanan menentang Sri Pahang di SSMZA. — Facebook/TFC

TFC melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia dengan bergaya selepas menewaskan skuad kendalian Datuk Dollah Salleh dengan agregat besar 9-3.

Pasukan gergasi Pantai Timur itu akan bertemu juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City (KL City) FC pada 6 November ini untuk merebut slot ke separuh akhir.

Sementara itu Dollah berkata, kelemahan ketara barisan pertahanan menjadi punca utama kekalahan skuad Tok Gajah.

Kelemahan itu diburukkan lagi dengan keadaan padang yang digenangi air yang menimbulkan kesukaran buat anak buahnya mendapatkan rentak pada separuh masa pertama.

"Walaupun pemain berjaya bangkit dengan menjaringkan dua gol pada masa kedua, ia sudah terlambat untuk menyekat kemaraan TFC.

"Apa pun saya harus akui bahawa permainan TFC lebih teratur berbanding Sri Pahang, dan mereka harus diberikan pujian," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram