Tak ambil mudah Sri Pahang, Nafuzi ingatkan anak buahnya kekal fokus


  • Podium
  • Isnin, 31 Okt 2022

Sesi latihan TFC di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus, pada Ahad. — Facebook/TFC

KELEBIHAN empat gol yang dimiliki Terengganu FC (TFC) menjelang aksi timbal balik di laman sendiri Selasa ini bukan jaminan untuk skuad Penyu layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

Peringatan itu diberikan oleh Ketua Jurulatih TFC Nafuzi Zain kepada anak buahnya supaya kekal fokus dan tidak mengambil mudah ancaman pasukan Sri Pahang FC pada pertemuan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu nanti.

Menurut Nafuzi, pemain perlu menjangkakan sebarang kemungkinan atau kejutan daripada skuad Tok Gajah, yang pasti datang dengan misi memburu kemenangan besar untuk memastikan sang Penyu tersingkir dan berputih mata.

"Walaupun kami dapat keputusan positif pada perlawanan pertama, ia belum menjamin untuk layak ke pusingan suku akhir, masih ada 90 minit yang perlu kami selesaikan di padang.

"Dalam bola sepak apa sahaja boleh jadi. Kami sendiri tak jangka menang besar tempoh hari. Perlu betul-betul bersedia mental dan fizikal untuk bermain di tempat sendiri nanti," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus, pada Ahad.

WhatsApp Image 2022-10-31 at 10.31.24 AM

Nafuzi mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak berasa selesa dengan kemenangan lalu. — Facebook/TFC

TFC berjaya membawa bekalan selesa ke perlawanan timbal balik selepas menewaskan Sri Pahang FC 5-1 pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur Khamis lepas.

Sementara itu penyerang import prolifik skuad Penyu, Kpah Sherman berkata, dia akan bekerja keras untuk memastikan TFC mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, iaitu kejohanan bola sepak paling berprestij di negara ini dan antara tertua di rantau Asia.

Katanya, setelah meraih 10 kemenangan berturut-turut, moral pasukan kini berada pada tahap terbaik dan bersedia menghadapi apa juga cabaran daripada mana-mana pasukan.

"Sudah pasti saya mahu menyumbat lebih banyak gol dalam perlawanan seterusnya, tetapi membantu pasukan adalah lebih penting daripada menjaringkan gol.

"Saya mahu pastikan kami (TFC) boleh beraksi di pusingan seterusnya, jadi kami harus memberi tumpuan dan akan berjuang sehingga penamat,” katanya yang berjaya meledak hatrik pada perlawanan pertama dengan Sri Pahang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram