Kecewa aksi hambar Samassa, calon pengganti tersedia buat Sri Pahang


  • Podium
  • Sabtu, 29 Okt 2022

Prestasi Samassa bersama Sri Pahang dikatakan tidak konsisten sepanjang musim — Agensi

KEMPEN Piala Malaysia Sri Pahang FC dilihat berubah tragedi apabila pasukan kendalian Datuk Dollah Salleh itu tewas dengan pasukan pelawat, Terengganu FC pada Khamis.

Serangan bertubi-tubi yang dilancarkan skuad Sang Penyu jelas tidak dapat dibendung pasukan tuan rumah dalam usaha mereka menjulang trofi tersebut selepas kali terakhir memenanginya pada 2014.

Pada awal minit permainan, jaringan daripada Kpah Sherman dan Nik Sharif Haseefy dilihat melumpuhkan semangat pemain Sri Pahang FC sepanjang perlawanan.

Walaupun terdapat beberapa percubaan untuk menyamai semula kedudukan menerusi jaringan Steven Rodriguez, kehebatan anak-anak buah Nafuzi Zain gagal dibendung pasukan tuan rumah apabila permainan berakhir dengan skor 5-1 memihak Terengganu FC.

Kekalahan besar itu sudah pastinya menerima respons yang tidak bersemangat daripada penyokong Tok Gajah kerana mereka mengharapkan persembahan dan keputusan lebih baik.

Perkara itu dapat disaksikan dengan lambakan komen dan luahan di media sosial yang tidak henti-henti menunding jari ke atas beberapa pemain dalam pertembungan itu.

Antara pemain yang dilihat teruk menerima kritikan ialah penjaga gawang, Mamadou Samassay yang gagal menyekat percubaan demi percubaan pasukan lawan.

313303537_1582864372144238_4965881178143780262_n

Terengganu berjaya mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas Sri Pahang pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur. — Facebook/TerengganuFC

Walaupun persembahan keseluruhan benteng pertahanan boleh dikatakan mengecewakan, ia tidak menghalang penyokong Sri Pahang daripada mengkritik Samassa.

Lebih teruk lagi, seorang penyokong menerusi laman Facebook Panthera Tigris Jacksoni berpendapat kontrak pemain kelahiran Mali itu tidak wajar disambung musim depan kerana prestasi permainannya yang dilihat kurang memberansangkan.

Malah, penyokong berkenaan juga bertindak menyuarakan pendapat dengan mengatakan terdapat seorang pemain import yang berpotensi untuk menggantikan Samassa ketika jendela perpindahan akan datang.

"Hari tu, Samassa macam berlagak sangat kerana mengatakan dia tidak tahu dengan khabar angin bahawa dia tidak akan dikekalkan dalam skuad Sri Pahang musim depan.

"Sekarang, baru dia tahu bahawa penjaga gol kelahiran India, Gurpreet Singh Sandhu akan menggantikannya kerana aku sendiri tidak minat dengan Samassa ni," tulisnya.

9wOGCix2uX

Gurpreet ketika ini sedang beraksi bersama kelab India, Bengaluru FC — Agensi

Khabar angin bukanlah satu perkara yang baharu apabila desakan penyokong Sri Pahang FC untuk menggantikan penjaga gawang itu sudah dilaungkan ketika pertengahan musim lalu.

Gurpreet ketika ini sedang beraksi bersama kelab India, Bengaluru FC dengan pasukan itu sudah dibolosi sebanyak tiga kali dalam empat perlawanan.

Meskipun pemain itu sudah mencecah usia 30-an, dia bukanlah satu nama yang asing dalam sukan tersebut apabila dia pernah dipilih sebagai pemain terbaik antarabangsa India pada 2020.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong mula berhasrat untuk melihat pemain tinggi lampai itu untuk menyarung jersi Sri Pahang FC musim depan bagi menambah baik kemampuan benteng pertahanan mereka.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram