KEKALAHAN Sri Pahang dengan jumlah jaringan besar 1-5 di tangan Terengganu FC dalam aksi pertama, pusingan 16 akhir Piala Malaysia di Kuantan, Pahang pada Khamis masih menjadi bualan penyokong sehingga ke hari ini.
Bagi menebus maruah pasukan dan mendapatkan tiket ke suku akhir piala berprestij itu, skuad Tok Gajah perlu menang besar apabila bertandang ke laman tuan rumah pada Selasa ini.
Jika diimbau perlawanan memalukan Sri Pahang pada Khamis lalu, penyokong Tok Gajah sebulat suara berpendapat bahawa bentang pertahanan pasukan itu yang menjadi asbab kubu mereka mudah dibolosi pihak lawan.
Berdasarkan laporan dari sripahangfc, pendapat itu juga dipersetujui oleh pengendali Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh yang menyatakan pemainnya di kubu pertahanan seperti terkejut dan tidak dapat menampung tekanan daripada pasukan pelawat.
Antara nama tonggak pertahanan yang disebut-sebut penyokong menjadi punca kekalahan besar itu ialah, pemain import Uzbekistan, Sherzod Fayziev.
“Fayziev punca dua gol Terengganu,” antara komen-komen penyokong Tok Gajah, Haimee Abd Ghani.
Justeru itu, terdapat penyokong mencadangkan agar bekas pemain Piala Presiden Sri Pahang, Hasnul Zaim Zafri diberikan peluang untuk menjaga benteng pertahanan bagi perlawanan seterusnya.
Hasnul merekodkan satu jaringan dalam saingan Liga Super pada musim ini bersama Sri Pahang. — Bernama
“Hasnul itu bakal ikut jejak langkah Nik Sharif kalau tidak diberi peluang. Sherzod itu dah berapa perlawanan buat kesalahan bodoh. Masih nak bagi main. Kita sebagai penonton pun nampak, tidak perlu ada lesen sebagai jurulatih,” komen penyokong Sri Pahang, Azahari Abdullah.
Untuk rekod, Nik Sharif Haseefy dan Hasnul Zaim merupakan pemain dari skuad Piala Presiden Sri Pahang.
Namun Nik Sharif meninggalkan Tok Gajah pada 2020 berikutan penghijrahan ke Selangor dan kini dia sedang menyerlah di TFC meskipun hanya sebagai pemain berstatus pinjaman.
Hasnul (kiri) hanya turun sebanyak lima perlawanan sahaja. — Facebook Sri Pahang
Penyokong Sri Pahang risau jika Hasnul Zaim mengikut jejak langkah rakannya itu kerana dengan kelebihan yang ada pada pemain 23 tahun tersebut, pasti menjadi kerugian besar buat Sri Pahang.
Selain usia muda, pemain berketinggian 1.75 meter itu cukup layak untuk menggantikan beberapa pemain pertahanan yang sedia ada dan sekali gus boleh menyelamatkan kubu Sri Pahang daripada dibolosi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram