Isu kontrak bukan alasan bek Sang Penyu pamer aksi cemerlang


  • Podium
  • Ahad, 30 Okt 2022

Diakite (kanan) enggan fikirkan kontraknya bersama TFC namun ingin fokus membantu TFC memenangi Piala Malaysia. — Facebook/TFC

TAHUN ini boleh dikatakan musim terbaik bagi Terengganu FC (TFC) dengan kejayaan pasukan itu menutup tirai sebagai naib johan Liga Super dan berjaya mendapat slot automatik pentas Piala Konfederasi Asia (AFC) 2023.

Kemanisan TFC bersambung lagi selepas mereka berjaya menumpaskan Sri Pahang FC dengan jumlah jaringan besar 5-1 dalam pembukaan pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan dengan kejayaan Terengganu itu, tidak dinafikan skuad Penyu turut terpalit dengan beberapa isu dan antara yang menjadi bualan penyokong ialah isu kontrak pemain dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Turut tidak mengetahui lagi nasibnya bersama TFC, kontrak pemain import, Pape Diakite juga bakal tamat pada penghujung November ini.

PAPE

Diakite menyertai keluarga Terengganu bagi musim 2022 selepas menandatangani kontrak setahun. — Facebook/TFC

Namun, pemain kelahiran Senegal itu enggan memikirkan mengenai kontraknya bersama TFC sebaliknya mahu menumpukan perhatian untuk membantu skuad Penyu menjulang Piala Malaysia musim ini.

“Selagi saya mempunyai beberapa minggu lagi dalam kontrak saya. Saya akan melakukan yang terbaik.

“Saya berasa gembira dengan permulaan kami di Piala Malaysia dan saya akan berikan yang terbaik dalam perlawanan demi perlawanan.

"Alhamdulilah, saya rasa bersyukur. Peminat TFC sangat baik, pemainnya hebat dan sentiasa rendah diri. Jurulatih bagus dan membantu,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Diakite turut memuji persembahan rakan sepasukannya, Kpah Sherman yang meledak hatrik pada perlawanan Khamis lalu.

KPAH

Antara aksi Kpah ketika menentang Sri Pahang FC dalam perlawanan Piala Malaysia pada Khamis. — Facebook/MFL

Menurutnya, penyerang import Liberia itu sentiasa memberikan komitmen buat TFC dan merupakan watak penting dalam pasukan.

“Kpah menjadi salah seorang penjaring gol terbaik dalam liga ini selama bertahun-tahun jadi hormati itu.

“Sumbangannya sentiasa cemerlang. Dia sentiasa melakukan yang terbaik dan Kpah merupakan watak penting dalam pasukan,” ujarnya.

Jika TFC berjaya mengekal momentum kemenangan pada Selasa ini, naib juara Piala FA 2022 itu akan berpeluang cerah untuk mara ke peringkat suku akhir.

Terengganu dijadualkan menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Selasa ini bagi aksi timbal balik pusingan 16 saingan Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram