Kelab Liga M berebut pemain terbaik Melaka United, Sarawak United


  • Podium
  • Rabu, 02 Nov 2022

MUFC dan SUFC tidak akan berpeluang mencuba format baharu Liga Super pada musim akan datang. — Facebook/ MUFC

TINDAKAN Malaysia Football League (MFL) menolak rayuan Melaka United FC (MUFC) dan Sarawak United FC (SUFC) untuk memohon Lesen Kebangsaan telah menafikan peluang mereka untuk beraksi di pentas Liga Super 2023.

Keputusan itu diumumkan kepada pasukan pada Selasa oleh Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Pelesenan, Mohamad Yasin Abdullah melalui pemakluman rasmi, sekali gus menyebabkan pemain kedua-dua pasukan terpaksa akur dengan masa depan mereka bersama pasukan masing-masing.

Dalam satu perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, penolakan tersebut bukanlah tidak bermakna kedua-dua pasukan itu terus 'bungkus', tetapi cuma tidak layak bertanding di bawah kejohanan yang dianjurkan oleh perbadanan itu.

Menurutnya ketika ditemubual media tempatan, kedua-dua pasukan masih boleh bertanding dalam kejohanan yang dianjurkan oleh Amateur Football League (AFL) iaitu Liga M3.

Namun, pasti pemain-pemain bintang kedua-dua pasukan enggan 'turun pangkat' dengan bermain di peringkat amateur yang secara tidak langsung membuka ruang bagi kelab lain untuk menyambar mereka.

Berikut merupakan beberapa tonggak MUFC dan SUFC yang wajar mendapat tempat di pasukan lain agar mereka dapat terus bermain di saingan Liga Super musim depan.

Imran merupakan permain verstail yang boleh jadi pelengkap Perak FC. Instagram/ @rajaimranshah

1. Raja Imran Shah (Sarawak United FC ke Perak FC)

Pemain pertahanan berusia 23 tahun ini merupakan tonggak SUFC yang menerima kepercayaan penuh daripada Ketua Jurulatih, S. Balachandran apabila mengumpul 1,245 minit permainan.

Biarpun berperanan sebagai 'tanker', Raja Imran tetap menyumbangkan gol kepada pasukannya apabila mencatatkan dua gol dan satu bantuan gol dalam 16 penampilannya bersama SUFC musim ini.

Kehadiran pemain muda penuh pengalaman itu dilihat mampu membantu Perak FC memperkuatkan lagi benteng pertahanan mereka bagi menghalang pasukan lawan untuk menembusi gawang pasukan.

Anak jati Kelantan mungkin senjata yang dicari pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman. Melakaunitedfc.com

2. Wan Zaharulnizam (Melaka United ke Kelantan FC)

Pemain sayap kiri MUFC ini terkenal dengan kebolehannya untuk melepasi pihak lawan dengan tekniknya dalam menggelecek bola untuk dibawa ke kawasan gawang lawan.

Dalam 17 penampilannya bersama MUFC musim ini, pemain berusia 31 tahun tersebut menyumbangkan dua bantuan gol kepada rakan pasukannya.

Lebih meyakinkan, status Wan Zaharulnizam sebagai anak jati Kelantan pasti memberikannya semangat untuk bermain buat Kelantan FC nanti.

Pengalaman Bryan pasti mampu memberi manfaat kepada pasukan Selangor FC. Facebook/ MUFC

3. Bryan See (Melaka United ke Selangor FC)

Benteng terakhir MUFC ini mungkin jawapan kepada pasukan Selangor FC sekiranya mahu gawang mereka kebal tanpa dibolosi pasukan lawan.

Bersama skuad Hang Tuah, pemain berusia 29 tahun tersebut mendapat kepercayaan jurulatih dengan rekod dua clean sheet.

Di bawah bimbingan Cheng Hoe, pasti kemahiran 'budak' Subang Jaya yang memilki pengalaman bermain di Liga Thailand ini mampu digilap dan menjadi aset kepada Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram