Nasib MUFC, Sarawak United diketahui tidak lama lagi


  • Podium
  • Sabtu, 29 Okt 2022

Adakah Melaka United dan Sarawak United bakal bersaing dalam liga musim depan?

FORMAT baharu Liga Malaysia bakal menyaksikan sebanyak 18 pasukan berentap yang pastinya mendatangkan lebih banyak keghairahan kepada peminat bola sepak tempatan.

Perubahan yang diumumkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu menyaksikan beberapa pasukan Liga Perdana akan menyertai struktur baharu itu apabila tirai dibuka tahun depan.

Namun, awal Oktober lalu, satu kenyataan dikeluarkan badan pengendali liga bola sepak negara itu dengan mengumumkan hanya 16 pasukan berjaya memperolehi lesen untuk bersaing dalam saingan liga.

Perkara tersebut sekali gus menimbulkan pelbagai tanda tanya apabila masalah tersebut seakan-akan merencatkan perancangan awal yang dirangka MFL.

Berdasarkan kenyataan itu, dua kelab Liga Super, iaitu Sarawak United dan Melaka United tidak berjaya untuk mendapatkan lesen berikutan kegagalan untuk mengemukakan dokumen diperlukan.

KUALA LUMPUR, 5 Okt -- Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam (kiri) ketika sidang media mengenai Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM dan FIB Pelesenan Kelab FAM di Wisma FAM hari ini.--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

CEO MFL, Stuart Ramalingam.

Umum mengetahui bahawa kedua-dua pasukan itu terpalit dengan isu kewangan dan pengurusan sepanjang musim sehingga terdapat laporan bahawa kebajikan pemain dan pihak pengurusan terjejas.

Selain itu, isu tersebut turut mendapat perhatian beberapa badan luar, seperti Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) dalam usaha menyelesaikan isu tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan itu turut menyebut bahawa Melaka United dan Sarawak United diberi tempoh sehingga 28 Oktober untuk menyerahkan dokumen kepada MFL.

Tetapi, setakat ini, tiada pengumuman rasmi daripada badan bola sepak itu dalam mengesahkan nasib kedua-dua pasukan malang itu dalam arena bola sepak tempatan.

Bagi mendapat pengesahan lanjut, Majoriti bertindak menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam dalam mengetahui hal sebenar.

"Selasa," jawabnya ringkas.

13 Oktober lalu, Stuart pernah berkata, ketiadaan dua pasukan itu tidak akan menjejaskan perjalanan liga meskipun hanya 16 pasukan bakal berentap.

Ia bagaimanapun masih tidak menutup jalan buat pihak pengurusan Melaka United dan Sarawak United untuk mengemukakan rayuan, sekali gus membolehkan perancangan awal diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram