SEJAK berita mengenai masalah tunggakan gaji Melaka United FC (MUFC) terbongkar, satu per satu khabar berkenaan dengan perpindahan pemain-pemainnya ke kelab lain beredar di ruang media sosial.
Pemain muda skuad Hang Tuah, Harith Naem Jaineh disahkan berhijrah ke Perak FC, setelah berita itu diumumkan pengurusan pasukan tersebut pada Sabtu.
Kali ini, giliran pemain tengah pasukan bergelut itu, Mohd Syukri Baharun menjadi topik perbualan hangat apabila dikaitkan dengan tiga pasukan iaitu Penang FC, Terengganu FC dan Perak FC.
Pemain yang berasal dari Kunak, Sabah itu sempat melonjak kecemerlangan MUFC apabila dinobat pemain terbaik ketika berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, pada Jun lalu.
Melihat kepada reputasi pemain berusia 23 tahun tersebut, tidak hairanlah sekiranya khidmatnya ditagih tiga pasukan yang sedang berusaha memperbaiki prestasi pada saingan liga musim hadapan.
Kelebihan sebagai pemain tengah membolehkan Syukri menyeimbangkan kekuatan skuad Penyu. — Facebook/ Terengganu FC
1. Terengganu FC
Kehadiran Syukri Baharun pasti dapat membantu memperkuatkan lagi bahagian pertahanan skuad Penyu yang mudah dibolosi pasukan lawan sehingga menyebabkan pasukan sering melakukan kesilapan-kesilapan mudah.
Benteng pertahanan pasukan kendalian Nafuzi Zain rapuh sehingga menyebabkan usaha bahagian serangan mereka cuba untuk mengumpul gol menjadi sia-sia apabila bola sering berada di kawalan pasukan lawan.
Gandingan Syukri dan 'badang' Terengganu FC, Faiz Nasir pasti akan membuatkan skuad itu sukar dibolosi sekali gus menyeimbangkan kekuatan pada skuad Sang Penyu.
Adakah Syukri bakal mengikut jejak Harith? — Facebook/ Perak FC
2. Perak FC
Pertahanan rapuh skuad Seladang menjadi antara poin yang dibangkitkan penyokong pasukan berkenaan setelah melihat aksi pemain-pemain mereka dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
Barisan pemain dikatakan tidak serasi dan gagal memanfaatkan peluang untuk menguasai bola sekali gus membuka ruang kepada ketua jurulatih, Lim Teong Kim untuk merombak kembali pemain-pemain.
Sekiranya benar Harith telah disunting The Bos Gaurus, maka gandingan kedua-dua pemain yang sudah serasi di MUFC mampu memberi kelebihan kepada pasukan Perak pada musim depan.
Dengan usianya yang masih muda, Syukri berpeluang menimbang pengalaman berlatih di bawah Teong Kim yang mempunyai reputasi sebagai penggilap bakat muda negara.
Kemasukan Syukri dapat menghidupkan lagi jentera tengah, tambahan dengan persefahamannya bersama Harith dapat memudahkan lagi Teong Kim mengatur taktikal bersesuaian corak perlawanan.
Penang FC menduduki kedudukan tercorot liga musim ini. — Facebook/ Penang FC
3. Penang FC
Menduduki kedudukan terbawah dalam saingan Liga Super 2022, Penang FC pasti memerlukan khidmat Syukri Baharun bagi mengembalikan kepercayaan penyokong Haria Penang Haria kepada Harimau Kumbang.
Pengalaman pemain dengan ketinggian 1.79 meter itu sepanjang berkhidmat dengan Sabah FC dan MUFC dapat dimanfaat skuad Harimau Kumbang yang bergelut dengan masalah komunikasi antara pemain pertahanan dan serangan.
Tambahan, usia muda Syukri dan tahap kecergasannya masih tinggi membuatkan dia berpotensi menjadi aset jangka panjang pasukan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram