TEKA-TEKI berkenaan identiti dua pemain dalam video teaser Perak FC terlerai apabila The Bos Gaurus akhirnya mengumumkan kemasukan Harith Naem dan Ilham Aqil ke dalam skuad mereka.
Penyerapan kedua-dua bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam projek Perak FC menyatukan semula Lim Teong Kim dan bekas anak buahnya sekali gus menjanjikan keserasian dalam pasukan Perak FC musim hadapan.
Harith yang juga merupakan bekas pemain Melaka United FC (MUFC) difahamkan akan bermain di posisi tengah manakala bekas pemain muda UITM FC dilihat bakal berperanan sebagai pemain sayap dalam pasukan.
Keputusan Teong Kim disambut baik penyokong Perak FC, namum mereka mahu penambahan pemain terus dilakukan kerana menurut mereka, barisan sedia ada masih belum cukup kuat untuk mencapai misi 2023.
Menurusi laman Facebook Silver Retro, penyokong menamakan seorang lagi produk AMD, Harith Haiqal yang kini bermain dengan Selangor untuk ditarik ke dalam skuad Seladang.
Harith Naem merupakan rekrut pertama Perak FC.
"Kalau dah ada Harith Naem dan Ilham Aqil, tak lengkap pulak kalau tak ada Harith Haiqal dalam team Perak FC tahun hadapan.
"Bekas pemain pertahanan kebangsaan ini harus berada di tempat yang akan memberinya lebih minit perlawanan jika menyertai Teong Kim untuk musim Liga Malaysia 2023," tulisnya.
Sebelum ini, Harith Haiqal pernah memukau orang ramai apabila mempamerkan kekebalannya dalam mengawal benteng pasukan Bawah 23 tahun (B23) negara dalam temsaya Sukan Sea Hanoi pada Mei lalu.
Harith Haiqal beraksi dengan cukup cemerlang dalam perlawanan tersebut dengan sentiasa mematahkan gerak serangan yang dibina Vietnam selain merantai pergerakan penyerang berbisa Vietnam, Nguyen Tien Linh.
Namun, Harith Haiqal yang pernah menyumbangkan empat gol sepanjang 27 penampilannya bersama Selangor II seakan-akan dipinggirkan apabila diserapkan dalam skuad senior setelah masanya banyak dihabiskan di bangku simpanan.
Ilham Aqil akan memperkuatkan sayap kanan Perak FC musim depan.
Penyokong Perak FC, Ikram Bakri mahu bintang dalam pembikinan itu menyertai skuad mereka pada musim hadapan agar potensinya boleh digilap di bawah bimbingan Teong Kim.
"Bagus juga kalau masukkan Haiqal. Dia pun ada reputasi bagus. Sayang kalau asyik duduk di bangku simpanan," katanya.
Kenyataan itu dipersetujui Uthman Sabri, namun dia meletakkan syarat supaya pemain-pemain musim depan perlu ada keseimbangan antara pemain muda dan tua.
"Betul. Ambil sorang lagi pemain muda bekas AMD. Tapi jangan semua pemain muda. Nanti kita ambil pemain senior juga supaya ada pemain pengalaman untuk membimbing," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram