KEMENANGAN 2-0 ke atas Kelantan United pada aksi pertama pusingan kalah mati Piala Malaysia 2022 bukan 'tiket' untuk Selangor FC mendabik dada menjelang aksi kedua timbal balik di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Selangor pada Selasa.
Ini kerana misi Selangor FC untuk meneruskan rekod tanpa kalah menjadi keutamaan skuad The Red Giant agar momentum dapat dibina bagi menguatkan mereka sebagai satu pasukan.
Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe mengakui skuad kendaliannya kini bermotivasi untuk meneruskan saingan termasuk penyerang import, Herlison Caion yang sudah kembali menyumbangkan gol buat pasukan Merah Kuning itu.
"Walaupun kami dah mendahului 2-0 tapi perlu ingat, Kelantan United akan berhabis-habisan untuk 'balas dendam'. Kita nak teruskan momentum baik dalam pasukan dan kerana itu, kami perlu kekalkan rekod kemenangan.
"Belakangan ini pemain-pemain nampak bermotivasi dan bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan. Komitmen mereka dalam pasukan juga cukup baik dan suasana dalam The Red Giants sangat positif.
"Caion sudah mula kembali menyumbang gol. Satu perkara berkenaan penjaring adalah sekali mereka dapat sumbangkan gol, mereka akan terus bersemangat untuk mengulangi kejayaan tersebut.
Caion (no. 10) pernah dikiritik penyokong Selangor FC kerana bersikap acuh tak acuh dalam perlawanan. — Facebook/ Selangor FC
"Tapi untuk Caion, saya tidak hanya menumpukan pada jaringan dia. Saya perlu lihat sama ada dia boleh beri bantuan gol kepada rakan sepasukan serta sumbanganya secara menyeluruh sebagai satu pasukan." katanya kepada Majoriti.
Biarpun begitu, pengendali berusia 54 tahun tersebut belum berpuas hati dengan keadaan pasukan itu dan mahu terus menggilap pasukan Selangor FC sehingga mereka benar-benar mampu menjadi pasukan gergasi seperti dahulu.
"Sebenarnya, pemain baru nak menyesuaikan diri. Ada banyak 'homework' yang perlu dilakukan. Dari segi pemain individu pun perlu diperbaiki lagi. Setakat ini, game by game sudah nampak peningkatan dari segi pasukan dan juga individu," jelasnya.
Sebagai rekod, Selangor berjaya menewaskan Kelantan United menerusi ledakan gol Caion pada minit ke-37 dan minit ke-63 pada Rabu lalu.
Kemenangan tersebut merupakan rekod tanpa kalah lima kali berturut-turut Selangor FC sejak berada di bawah tunjuk ajar Cheng Hoe.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram