Bukan sekadar buru bintang muda, Perak FC kini menghitung hari pikat nama-nama besar


  • Podium
  • Rabu, 26 Okt 2022

Teong Kim merupakan bekas pengarah AMD dan terkenal dengan reputasinya sebagai sebagai jurulatih pasukan simpanan dan remaja. — Facebook/ Perak FC

PENYERAPAN dua produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Ilham Aqil dan Harith Naem Jaineh ke dalam projek Perak FC untuk musim 2023 mendapat sambutan baik dalam kalangan penyokong Perak FC.

Rata-rata berasakan kemasukan bekas anak-anak didik ketua jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim dapat mewujudkan keserasian sekali gus dapat membantu skuad tersebut bangkit dari posisi rundum mereka musim ini.

Bagi penyokong The Bos Gaurus, pengambilan pemain-pemain muda merupakan langkah bijak apabila sumbangan mereka mampu ditagih untuk satu jangka masa panjang.

Cuma pada masa sama, penyokong juga bimbang sekiranya Perak FC akan terus menyunting bakat muda terutama apabila Teong Kim terkenal dengan reputasinya sebagai sebagai jurulatih pasukan simpanan dan remaja.

Mengulas berkenaan perkara itu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menolak sangkaan peminat bahawa skuad Seladang bakal dibarisi pemain-pemain muda sahaja.

Bahkan, dia turut mendedahkan bahawa sudah terdapat pemain-pemain veteran dalam radar Perak FC dan masih menunggu masa sebelum surat tawaran diserahkan kepada pemain-pemain tersebut.

"Pendapat yang mengatakan Perak FC akan dibarisi sepenuhnya dengan pemain muda itu tidak tepat. Perak FC masih lagi dalam proses mengenal pasti pemain-pemain yang akan diberi tawaran untuk menyarung jersi kami.

Perak FC mengumumkan penyerapan dua pemain muda, Ilham Aqil dan Harith Naem ke dalam skuad mereka. Facebook/ Perak FC

"Saya akui sudah ada pemain dalam radar kami. Tapi kami tak boleh sebut kerana pemain-pemain tersebut masih lagi terikat dengan kontrak. Jadi, kami tidak boleh buat sebarang pengumuman lagi," katanya kepada Majoriti.

Ditanya berkenaan pendapatnya terhadap prestasi semasa Teong Kim, Abdul Azim mengakui pengendali kelahiran Melaka itu masih terlalu awal untuk dinilai berdasarkan saingan perlawanan persahabatan.

"Setakat ini belum nampak lagi sebab liga belum bermula. Pemain-pemain pun sekadar berlatih dan bermain dalam perlawanan persahabatan.

"Besar kemungkinan, mereka akan berlawanan dengan pasukan dari luar (perlawanan persahabatan) sementara tunggu liga bermula. Semua itu masih dalam perancangan," katanya.

Sebagai rekod, Abdul Azim pernah mendedahkan bahawa sasaran The Bos Gaurus adalah untuk berada pada kelompok pertengahan Liga Super musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram