KEKALAHAN enam kali berturut-turut musim 2022 bukanlah satu rekod membanggakan bagi pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC setelah terus mempamerkan aksi mengecewakan setiap kali mereka tampil di atas padang.
Tumpasnya kedah di bumi sendiri pada Rabu merekodkan kekalahan ke-15 sepanjang musim 2022 setelah mencatatkan 11 kekalahan dalam Liga Super, dua kekalahan dalam Piala AFC, satu kekalahan dalam Piala FA dan satu kekalahan dalam Piala Malaysia setakat ini.
Siri kegagalan ini merupakan angka paling besar pernah Kedah catat sejak kembali ke Liga Super pada 2016 dulu.
Prestasi merudum itu juga menyebabkan pihak pengurusan Hijau Kuning terpaksa menamatkan perkhidmatan Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih dan digantikan dengan Victor Andrag sebagai Pemangku Ketua Jurulatih (Interim) Sang Kenari untuk saingan Piala Malaysia.
Menurut pemerhati sukan, Don K-Rul Izham, rekod kekalahan terbaharu skuad Sang Kenari tersebut memberi 'satu petanda' awal untuk musim 2023 nanti sekiranya pihak pengurusan masih mengulangi tindakan sama.
Jelasnya, KDA FC tidak seharusnya meletakkan kepercayaan kepada ejen pemain import, sebaliknya berikan tumpuan kepada pemain-pemain muda berpotensi.
Justeru, berikut merupakan dua cadangan diutarakan penyokong tegar skuad Hijau Kuning di laman Facebook miliknya itu dengan harapan dapat dipertimbangkan pihak pengurusan KDA FC.
Fayadh merupakan salah satu bintang dalam pembikinan dan aset buat pasukan Kedah. — Facebook/ KDA FC
1. Lanjutan kontrak pemain sedia ada
Pemuda dari Jitra, Kedah tersebut berpendapat beberapa pemain tempatan, termasuk pemain muda dan pemain senior wajar dikekalkan kerana mereka sudah memiliki keserasian setelah bersama sepanjang musim 2022.
"Nama-nama seperti Kamil Akmal, Heshamudin Ahmad, Azmeer Aris, Aiman Afif, Fayadh Zulkifli, Fadzrul Danel, Afeeq Ikmal antara pemain muda yang boleh kelab pertimbangkan untuk kekal.
"Dengan prestasi semasa mereka, sedikit pengalaman dari musim ini, mereka antara pemain muda yang mempunyai masa depan bersama kelab.
"Bukan mudah kita nak bentuk pemain-pemain muda terutama Kedah juga tidak memiliki pasukan feeder. Walaupun musim tak berapa bagus, pemain-pemain ini masih boleh diberikan peluang kerana salah satu sebab mereka ni belum memasuki peak age (25 dan keatas).
"Bagi pemain senior yang boleh mengawal kem pasukan pula, nampak beberapa pemain masih boleh diberikan tempat dalam pasukan seperti Akmal Zahir, Rodney, Loqman Hakim, Al Hafiz atau Ariff Farhan.
"Walaupun prestasi Kokot (Ariff) dan Bonai (Rodney) agak menurun tapi mereka masih berada dalam peak age yang baik dan paling penting mereka bukan dalam kategori pemain dalam kecederaam. Senior disini maksudnya masih dalam peak age, bukan senior pada angka umur," jelasnya.
Akmal Zahir merupakan pemain senior yang mampu membimbing pasukan Kedah.— Facebook/KDAFC
2. Pengambilan pemain baharu
Pemilik Facebook dengan melebihi 4,000 pengikut itu juga mempersoalkan keberadaan beberapa pemain muda Kedah yang pernah mendapat perhatian Brad Maloney untuk skuad Malaysia B19 sebelum ini.
"Musim 2020, 2021 ada juga berita mereka berlatih dengan skuad utama Kedah, selepas tu tiada lagi berita. Mungkin pemain-pemain muda atau prospek macam ini lebih sesuai untuk diketengahkan pada masa-masa akan datang.
"Mengenai import baharu? Lebih baik kita memberi sokongan penuh kepada Tan Sri (Mohd Daud Bakar) buat percaturan. Mungkin dia ada plan atau idea tersendiri untuk kelab. Rebah takpa, tak malu pun, cuma macam mana nak bangkit tu kita kena cari jalan," sambungnya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan bekas jurulatih legenda skuad Sang Kenari, Azraai Khor Abdullah berpendapat, kegagalan membentuk pasukan merupakan faktor persembahan Kedah tidak cemerlang musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram