SETELAH bergelut dalam episod suram pada awal musim 2022, Selangor FC dilihat sudah berada di landasan tepat untuk kembali menjadi salah satu kelab gergasi negara selari dengan sejarah elit kelab tersebut selama ini.
Semua itu bermula dengan percaturan pengurusan Selangor FC yang memecat ketua jurulatih dari Jerman, Michael Feichtenbeiner dan digantikan dengan bekas jurulatih kebangsaan,Tan Cheng Hoe.
Sejak mengendalikan The Red Giants, jurulatih berusia 54 tahun tersebut berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah bagi empat perlawanan akhir Liga Super dengan kemenangan sebanyak tiga kali dan seri satu kali.
Bagi memaksimumkan keupayaan skuad Merah Kuning pada musim depan, Cheng Hoe kini dikhabarkan sedang 'menguji' pemain-pemain Selangor FC, di samping memantau pemain kelab lain sebelum membuat keputusan mutakhir di akhir musim nanti.
Berkenaan dengan pemain import pula, penyokong mula menyarankan pihak pengurusan Selangor FC untuk mengambil pemain yang sudah berada dalam Liga Malaysia (Liga M).
Caio merupakan bekas pemain kebangsaan B-20 Brazil. — Agensi
Antara pemain tersebut adalah pemain sayap kanan Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo sebaik sahaja kontrak pemain itu tamat nanti.
Pemain berusia 23 tahun tersebut itu serba boleh dan kehadirannya mampu membantu pasukan Selangor yang sering 'malang' dalam memilih pemain-pemain import sebelum ini.
Namun berbanding Hidalgo, terdapat perkhabaran bertiup kencang menerusi laman media sosial mengenai dua orang pemain dari negara Brazil telah pun berada di dalam radar pengendali kelahiran Kedah tersebut.
Pemain-pemain tersebut adalah bekas pemain kebangsaan bawah 20 tahun Brazil, Caio Rangel da Silva serta pemain berketinggian 1.88 meter, Brendon Lucas.
Tinjauan Majoriti pada laman transfermarket mendapati Caio Rangel merupakan seorang pemain kelab Brazil, Chapecoense yang beraksi di posisi sayap kanan.
Brendon kini bermain bersama kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC. —Agensi
Pemain berusia 26 tersebut dilihat banyak memanaskan bangku simpanan dan hanya mencetakkan 470 minit perlawanan sepanjang lapan penampilannya bersama kelab Brazil itu.
Sebagai pemain sayap kanan, Caio dilihat tidak menyumbangkan sebarang gol atau bantuan gol bersama Chapecoense musim ini, namun rekodnya agak memberangsangkan ketika bersama pasukan-pasukan sebelum itu.
Sementara itu, Brendon pula merupakan pemain bek tengah kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC dan telah mengumpul 1.740 minit perlawanan sepanjang 19 penampilan bersama skuad tersebut.
Ini bermakna, pemain berusia 27 tahun tersebut dilihat mendapat kepercayaan jurulatih apabila sering diturunkan meskipun memiliki rekod kad kuning yang lebih kurang sama banyak pada setiap musim.
Untuk rekod, Selangor sudah pun menyambar dua bintang import Brazil musim ini iaitu Hyuri Henrique de Oliveira dan Herlison Caion de Sousa, namun masa depan kedua-dua bintang samba itu masih belum diketahui sama ada kekal atau tidak bersama Gergasi Merah musim depan.
Persoalannya, adakah Cheng Hoe akan mendengar suara penyokong yang mahu pemain import 'kitar semula' dari Liga M atau berani untuk mengambil risiko dengan menyunting muka baharu pemain import dari luar? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram