Kononnya terkena sumpahan Mahsuri, pemain Sang Kenari dicabar buktikan sebaliknya


  • Podium
  • Isnin, 31 Okt 2022

Sang Kenari tewas di tangan NSFC 1-2 di laman sendiri pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia, Rabu lalu. — Facebook/KDA FC

MEMORI duka melihat pasukan kesayangan dimalukan pasukan pelawat, Negeri Sembilan FC (NSFC) di laman sendiri pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia minggu lepas masih lagi segar di fikiran penyokong Kedah Darul Aman (KDA FC).

Kedah yang tewas 1-2 di tangan skuad Jang Hobin pada Rabu lalu itu mencatatkan rekod kekalahan keenam berturut-turut sekali gus mengumpul 11 kekalahan keseluruhan pada musim ini.

Siri kegagalan tersebut merupakan angka paling besar pernah dicatatkan Kedah sejak kembali ke Liga Super pada 2016 dulu.

Catatan tersebut membuktikan pasukan Kedah kini berada dalam keadaan 'tenat' dan ketiadaan jurulatih tetap pada saingan Piala Malaysia membuatkan pasukan tersebut semakin terumbang-ambing.

Penyokong mahu skuad Sang Kenari cipta kejutan di laman lawan.

Lantaran itu, para penyokong bagaikan sudah menerima 'takdir' mereka apabila menjangkakan satu lagi rekod kekalahan berturut-turut bakal tercipta pada perlawanan timbal balik Piala Malaysia menentang NSFC, Selasa nanti.

Justeru, penyokong menerusi laman Facebook Penyokong Setia Hijau Kuning mencabar barisan pemain Kedah untuk mencipta kejutan dengan mematahkan 'sumpahan' kekalahan berturut-turut yang sedang menghantui pasukan itu.

"Kekalahan ketujuh menanti. Kalau berani tolonglah nafikan ramalan ini wahai pemain-pemain semua!," tulisnya.

Ong Beng Tek menyambung: "Ikut resmi sumpahan Mahsuri tujuh keturunan. Lepas ini Sang Helang (nama lama KDA FC) akan cengkam sesiapa sahaja. Tunggu habis sumpahan."

"Confirm..... Kalau menang satu sahaja minta. Minta mandi bunga ramai-ramai," kata Muzakkir Azizan.

Mohamad Zamri Mahmud menyambung: "Anggaplah kita ini sebagai pelengkap jadual sahaja. Tahun depan letak harapan baharu. Modal baharu."

Kedah akan bertemu NSFC pada perlawanan timbal balik Piala Malaysia pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram