FAM akan dedah kebenaran isu Nooa Laine


  • Podium
  • Isnin, 26 Sep 2022

Nooa sewaktu beraksi bersama Harimau Muda dalam perlawanan persahabatan menentang Timor Leste B-23. — Facebook/FAM

NAMA pemain kacukan, Nooa Laine menjadi bualan pada awal bulan ini apabila difahamkan dia meminta sejumlah wang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai syarat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan bagi Kejohanan Piala Raja Thailand.

Bagaimanapun, pemain kacukan Finland-Malaysia itu bersama agensinya, X-One dalam satu kenyataan media menepis dakwaan mereka meminta bayaran untuk menyarung jersi pasukan negara dan menjelaskan sebab sebenar yang berlaku.

“Adalah menjadi impian Nooa untuk bermain bersama skuad kebangsaan dan mewakili negara kelahiran ayahnya suatu hari nanti.

"Bagaimanapun, Nooa tidak mempunyai pasport Malaysia memandangkan dia dilahirkan dan membesar di Finland.

“Ingin dijelaskan di sini bahawa Nooa tidak memerlukan pasport Malaysia untuk tujuan lain dalam hidupnya buat masa ini, melainkan hanya untuk membolehkannya beraksi bersama Harimau Malaya," kata kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan sama, ejen pemain itu turut mendakwa maklum balas yang diterima daripada FAM tidak memberangsangkan kerana pihak tersebut tidak menunaikan janji dan bersikap kurang profesional dalam mengendalikan urusan Nooa.

NOOA

Nooa pernah dipanggil menjalani latihan pasukan B-23 negara untuk persiapan menghadapi Sukan Sea di Hanoi tahun lalu. — Facebook/FAM

Difahamkan, pihak FAM tidak menepati kata apabila diikatakan berjanji untuk menanggung kos perjalanan Nooa dan ayahnya, Faried Baharin ke Malaysia.

Mengulas isu mengaitkan pemain berusia 19 tahun itu, pihak FAM tampil membongkar kebenaran mengenai situasi berkenaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, badan induk itu sedang menunggu laporan dari kem pasukan kebangsaan mengenai isu tersebut.

“Saya akan dapatkan laporan daripada pasukan kebangsaan isu ini. Biar saya tungu laporan isu refund dan dokumentasi.

“Dah dapat laporan, saya akan beri kenyataan rasmi,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, bagi menjelaskan situasi tersebut, pihak FAM akan memaklumkan perkara itu dalam masa terdekat.

Untuk rekod, Nooa juga menerima panggilan pertama daripada pihak FAM untuk beraksi bersama skuad kebangssan bawah 23 tahun (B-23) pada April lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram