PRESTASI cemerlang Terengganu FC di saingan Liga Super dan pentas Piala FA meningkatkan lagi keyakinan penyokong terhadap kemampuan skuad Penyu mencipta satu lagi kejutan menjelang Piala Malaysia yang akan membuka tirai pada 26 Oktober nanti.
Siri kejayaan skuad kendalian Nafuzi Zain tersebut membuktikan bahawa mereka adalah pasukan kedua terbaik Liga Malaysia (Liga M) di belakang kelab gergasi tempatan, Johor Darul Takzim.
Menanti mereka di perlawanan pembukaan Piala Malaysia adalah pasukan Sri Pahang yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh setelah melakukan pertukaran kejurulatihan pada Julai lalu.
Di kem Sri Pahang FC, skuad Tok Gajah melaungkan amaran kepada skuad Penyu dengan kepulangan dua pemain import, Lee Tuck dan Sergio Aguero yang pasti akan mengumbang-ambingkan barisan pemain Terengganu.
Kedua-dua tonggak pasukan itu sebelum ini tidak dapat diturunkan dalam kesemua perlawanan liga berikutan isu pendaftaran dengan kuota pemain import sudah diisi.
Namun, nasib mereka berubah selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan status naturalisasi kepada Lee Tuck dan Aguero, sekali gus membolehkan mereka diturunkan ketika saingan Piala Malaysia.
Aguero (kiri) dan Lee Tuck bakal diturunkan ketika kempen Piala Malaysia hujung bulan ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Dengan kehadiran dua pemain naturalisasi ini, Terengganu FC diramalkan tidak akan menemui jalan mudah pada perlawanan pembukaan nanti sekali gus berpotensi untuk menyekat langkah mereka untuk mara ke peringkat seterusnya.
Enggan melatah, penyokong Terengganu menyuarakan kepercayaan mereka terhadap barisan kejurulatihan dan pemain Terengganu FC dalam mengatasi cabaran dari dua tonggak naturalisasi skuad Tok Gajah itu.
Bahkan, kemenangan sembilan kali berturut-turut dalam liga membuktikan kemampuan anak-anak buah Nafuzi Zain yang pastinya mahu menamatkan kempen musim ini dengan sekurang-kurangnya satu trofi.
Menerusi laman Facebook, penyokong Terengganu, Abdul Razak yakin pengendali kelahiran Kelantan itu akan ligat memikirkan strategi terbaik bagi menghadapi pasukan kendalian Datuk Dollah Salleh.
"Nafuzi Zain dengan taktikal dan strategi yang selalu berubah-berubah. Kalau tak, tak akan Terengganu FC boleh menang sembilan perlawanan berturut-turut tanpa seri.
"Kita tengok saja nanti. Lawan Sri Pahang nanti, dia guna strategi yang mana satu?" katanya.
Komen itu mendapat sokongan Zakuan Imran yang menambah: "Benar, tak perlu gerun dengan dua tonggak tu. Kami percaya pada taktikal Nafuzi dan kami percaya dia tahu apa yang perlu dilakukan."
"Mereka berdua bukan 'ancaman' bagi Terengganu FC, kami pun ada pemain-pemain yang boleh jadi ancaman pasukan Sri Pahang FC nanti," sambung Jebat Bestari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram