Lepas terpalit isu pemain diva, Nooa disingkir skuad kebangsaan


  • Podium
  • Isnin, 12 Sep 2022

Khabar angin tersebut secara tidak langsung membuatkan ramai tertanya-tanya sekiranya Nooa pemain kacukan diva tersebut. — Facebook/FA Malaysia

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai nama 25 pemain yang bakal menggalas misi negara di dalam Kejohanan Piala Raja Thailand (King’s Cup) bermula 22 September nanti, namun ada berita kurang enak menyapa peminat sukan tanah air.

Nama pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine telah digugurkan daripada senarai skuad Harimau Malaya meskipun menurut khabar angin, pada asalnya dia telah meraih tempat di kesebelasan utama Kim Pan-gon itu.

Dalam pendedahan mengenai pemain berusia 19 tahun tersebut, laman Twitter No Context Bola berkongsi dua poster mengandungi dua tweet dengan gambar yang telah dikaburkan.

Individu dalam gambar tersebut mendedahkan: "Nooa dapat panggilan untuk menyertai skuad senior pada kem latihan pada September namun semalam (Ahad), FAM tarik balik panggilan tersebut."

Poster pertama yang dikongsi Twitter No Context Bola.

Poster 2

Poster kedua yang dikongsi Twitter No Context Bola.

Khabar angin tersebut secara tidak langsung menimbulkan persoalan sama ada dia merupakan pemain kacukan yang sebelum ini dikaitkan dengan sifat diva dan mahukan habuan daripada FAM sekiranya khidmatnya diperlukan dalam skuad kebangsaan.

Menurut khabar angin tersebut, ahli keluarga pemain itu mahu FAM menanggung semua perbelanjaan termasuklah membayar yuran ejen sebelum anaknya terbang menyertai pasukan kebangsaan.

Pada ketika itu, terdapat dua pemain kacukan yang menjadi tekaan peminat bola tempatan iaitu Nooa dan seorang lagi adalah remaja berpangkalan di England, Jaami Qureshi.

Sebagai rekod, Nooa yang juga pemain kelab Veikkausliiga Finland pernah dipanggil untuk menjalani latihan pasukan negara untuk persiapan menghadapi Sukan Sea di Hanoi tahun lalu.

25 pemain yang bakal mewakili negara iaitu Shahrul Mohd Saad (JDT), La’vere Lawrence Corbin-ong (JDT), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi (JDT), Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT), Muhammad Safawi Rasid (JDT), Mohamadou Sumareh (JDT), Matthew Davies (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad (JDT), Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor FC), Brendan Gan (Selangor FC), Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Mohamad Faisal Abdul Halim (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim (TFC), Muhammad Azam Azmi Murad (TFC), Kalamullah Al-hafiz Mat Rowi (PJ City), Darren Lok (PJ City), Ruventhiran Vengadesan (PJ City), Ahmad Khuzaimi Piee (NSFC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (NSFC), Zhafri Yahya (KL City), Declan Lambert (KL City), Dominic Tan (Sabah FC), Muhamad Nor Azam Abdul Azih (Sri Pahang FC), Dion Cools (Fk Jablonec). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram