Ejen Nooa Laine nafi, persoal sikap profesional FAM


  • Podium
  • Ahad, 25 Sep 2022

Nooa juga dikatakan pernah dipanggil menyertai skuad senior Harimau Malaya pada September. — Facebook

PEMAIN kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine yang berpengalaman beraksi di Eropah menafikan dia dan bapanya, Faried Bahari meminta sejumlah wang untuk mendapatkan peluang bermain dalam skuad kebangsaan.

Ejen pemain itu, X-One Agency berkata, laporan media itu tidak benar dan tampil memperjelaskan situasi sebenar dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, Nooa menerima panggilan pertama daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beraksi bersama skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) pada April lalu.

Panggilan kedua pula katanya diterima pada September 2022 untuk menyertai perlawanan antarabangsa bersama skuad senior Harimau Malaya.

WhatsApp Image 2022-09-25 at 23.04.58

Tangkap layar e-mel FAM kepada ejen Nooa. — Instagram

X-One Agency berkata, pihaknya yang memulakan langkah menghubungi FAM awal tahun ini untuk memaklumkan bahawa Nooa yang beraksi dalam saingan divisyen satu Liga Finland merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Finland.

"Menjadi impian Nooa untuk bermain bersama skuad kebangsaan dan mewakili negara kelahiran ayahnya suatu hari nanti.

"Namun Nooa tidak mempunyai pasport Malaysia memandangkan dia dilahirkan dan membesar di Finland.

"Begitupun, ingin dijelaskan di sini bahawa Nooa tidak memerlukan pasport Malaysia untuk tujuan lain dalam hidupnya buat masa ini, melainkan hanya untuk membolehkannya beraksi bersama Harimau Malaya," kata kenyataan tersebut.

X-One Agency berkata, pihaknya bertanyakan kepada FAM jika badan induk itu berminat untuk mendapatkan khidmat Nooa yang mana mereka diberitahu bahawa FAM memang mahu berbuat demikian.

"Seterusnya kami meminta FAM untuk menyokong proses mendapatkan pasport Malaysia buat Nooa memandangkan ia perkara yang agak memakan masa," tambahnya.

FRRZbSBaAAEi0kt

Nooa menyertai kem latihan skuad B-23 negara pada April lalu namun namanya dikatakan digugurkan FAM. — Facebook

Bagaimanapun, ejen kepada Nooa itu mendakwa, maklum balas yang diterima daripada FAM tidak memberangsangkan kerana pihak tersebut tidak menunaikan janji dan bersikap kurang profesional dalam mengendalikan urusan Nooa.

Untuk panggilan kebangsaan pertama pada April 2022, Nooa dan bapanya mengambil masa untuk ke Malaysia bagi memulakan proses mendapatkan pasport.

"Ketika itu, FAM menjanjikan untuk menanggung kos perjalanan ke Malaysia, namun ia tidak pernah dipenuhi.

"Bagi panggilan kebangsaan kali kedua pula, FAM yang menghubungi kami untuk memaklumkan Nooa tersenarai dalam skuad senior.

"Namun, Nooa masih perlu menyelesaikan proses pemerolehan pasport. Untuk menyudahkan proses ini, Nooa dan bapanya sekali lagi perlu ke Malaysia.

"Ini menyaksikan Nooa terlepas salah satu perlawanan kelab terbesar musim ini dalam liga antarabangsa bagi tujuan tersebut," katanya.

Begitupun kata ejen itu lagi, Nooa dan bapanya sanggup berkorban jika FAM memberi jaminan dan menyokong mereka dari segi kewangan dengan menaja kos penerbangan, tetapi sayangnya mereka dikecewakan sekali lagi oleh badan induk bola sepak Malaysia tersebut.

"FAM mahu kami sebagai ejen Noaa menyakinkan kelabnya SJK Seinajoki untuk melepaskan pemain berusia 19 tahun itu sebelum jadual FIFA bagi membolehkan mendapatkan pasport dan dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

"Beberapa hari selepas itu, FAM bagaimanapun mengubah keputusan untuk tidak memanggil Nooa dalam skuad kebangsaan yang menyaksikan bapa pemain muda itu tidak mendapat gaji selama seminggu disebabkan oleh keputusan tidak profesional pihak FAM.

"Sekurang-kurangnya apabila Nooa dipanggil oleh FAM untuk mewakili skuad kebangsaan, mereka sepatutnya menanggung kos untuk mempersiapkan pemain itu tetapi apa yang berlaku sebaliknya," kata ejen itu.

A4207DCF-C530-4D6B-9B71-3FA856EC4626-1170x878

Nooa boleh beraksi di posisi pemain tengah menyerang dan menyarung jersi SJK Seinajoki dalam saingan divisyen pertama liga bola sepak Finland. — Facebook

Pihak FAM juga mengeluarkan kenyataan memberitahu bahawa mereka hanya bertanyakan proses untuk membawa masuk Nooa dalam skuad kebangsaan.

"Mereka berkata kepada pihak media bahawa jawapan daripada Nooa mengatakan proses pemerolehan pasport hanya akan siap pada Oktober. Ini juga tidak benar.

"Nooa masih belum menyiapkan pasport melainkan dia benar-benar dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan," katanya.

X-One Agency berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan FAM yang bertindak kurang profesional dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar kepada media.

"Mereka menjemput pemain untuk menyertai skuad kebangsaan, namun tidak membuat apa-apa usaha yang menyaksikan Malaysia kehilangan pemain yang bagus," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram