KEJAYAAN skuad Harimau Malaya melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2023 memberi suntikan semangat kepada pemain kebangsaan untuk menunjukkan kebolehan mereka untuk dipanggil ke dalam skuad negara.
Lambakan pemain dan bakat-bakat baharu pasti akan membingungkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon (KPG) dengan melihat kemampuan dan kesesuaian pendekatan taktikal di atas padang.
Namun, penganjuran Piala AFF Mitsubishi Electric yang bakal diadakan pada hujung tahun ini pasti akan digunakan ketua jurulatih kelahiran Korea Selatan itu untuk mengukur kemampuan pemain.
Selain itu, para pemain juga akan memastikan mereka beraksi dengan cemerlang bagi menghidupkan peluang untuk bermain bersama skuad kebangsaan di Piala Asia.
Tidak cukup dengan itu, penganjuran Piala Raja Thailand yang bakal berlangsung pada hujung September mampu menyajikan peluang kepada para pemain, khususnya kepada mereka yang masih muda.
Pertandingan yang disertai tuan rumah, Thailand, Tajikistan serta Trinidad and Tobago itu semestinya tidak akan dipandang rendah KPG apabila ia boleh menjadi medan latihan dan percubaan.
Tetapi, lambakan pemain muda yang beraksi di Liga Malaysia pasti menyukarkan proses pemilihan apabila kesemua mereka mempunyai kelebihan yang boleh diaplikasikan dengan taktikal KPG.
Di samping pemain tempatan, terdapat juga pemain berdarah kacukan yang berpotensi untuk mendapat peluang beraksi bersama Harimau Malaya apabila mereka layak dipilih KPG.
Meskipun penonton bola sepak akan mempertikaikan keputusan untuk memanggil pemain-pemain itu, pilihan yang terbaik pasti akan dibuat pengendali itu dengan mengambil kira prestasi mereka di atas padang.
1. Noaa Laine
Seorang pemain yang beraksi di liga luar negara sememangnya mempunyai kebolehan untuk menyumbangkan pengalaman serta pendekatan yang lebih menarik apabila mereka menghadapi sesi latihan yang lebih kental.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya pemain berdarah kacukan Malaysia-Finland, Noaa Laine dipanggil untuk Piala Raja Thailand dengan kebolehan yang menarik.
Laine yang beraksi bersama kelab Finland, SJK mempunyai kebolehan untuk menjaringkan gol apabila dia sudah mencatatkan gol dalam liga teratas domestik negara itu.
Laine sedang mempamerkan potensinya bersama kelab Finland. — Agensi
Tidak cukup dengan itu, Laine juga sering beraksi bersama pasukan simpanan kelab itu yang pastinya memberikan lebih banyak peluang dan minit permainan yang berharga
Meskipun KPG mempunyai limpahan pemain di posisi tengah, potensi yang dimiliki pemain berusia 19 tahun itu tidak akan dipandang rendah melihat kepada kreativiti dan prestasinya.
Pemain muda tersebut pernah beraksi sebanyak empat kali bersama skuad B-17 Finland serta menjaringkan satu gol ketika bersama skuad tersebut.
Perkara ini pasti memberi kesan kepada pemain tersebut untuk memilih pasukan kebangsaan yang bakal diwakilinya bagi memastikan karier dan bakatntya tidak disia-siakan.
Selain itu, KPG juga pasti akan mengambil kira akan jadual liga dan faktor geografi yang semestinya menyukarkan Laine untuk beraksi bersama Harimau Malaya.
2. Ryan Lambert
Kejayaan KL City FC dalam saingan Piala AFC tahun ini sememangnya menarik minat orang ramai untuk menyaksikan kebangkitan pasukan yang pada era 90-an dahulu pernah mencabar kejuaraan liga.
Selain pasukan secara keseluruhan, para pemain juga pasti akan dikenal pasti untuk melihat kemampuan dan persembahan yang ditonjolkan di atas padang.
Di sebalik pemain bintang, peminat bola sepak juga akan memerhatikan bakat-bakat baharu yang berjaya disemai dalam pasukan yang sedang berada di tangga kelima Liga Super itu.
Salah seorang pemain muda yang berjaya mencuri tumpuan ialah pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia, Ryan Lambert yang mempunyai reputasi baik bersama pasukan tersebut.
Ryan Lambert sering diberikan peluang dalam kesebelasan utama KL City FC. — Facebook/KL City FC
Setelah menghabiskan karier remajanya dengan berkelana di sekitar Eropah, Lambert akhirnya memilih untuk bergelar Warga Kota selepas kekurangan peluang dan minit permainan.
Pilihan itu kelihatan tepat buatnya apabila dia berjaya membawa pulang trofi Piala Malaysia 2021 setelah pasukan itu tampil bergaya dalam final ketika menumpaskan Johor Darul Takzim (JDT).
Musim ini, pemain berusia 23 tahun itu sering diberi peluang oleh Bojan Hodak apabila berjaya tampil dalam kesebelasan utama dengan kerap dalam saingan liga.
Perkara ini pasti akan menarik perhatian KPG untuk membawa Lambert yang masih tidak mempunyai karier antarabangsa untuk beraksi dalam saingan Piala Raja Thailand.
Kebolehan dan kemampuan pemain tengah itu pastinya memberi kemampuan yang diperlukan apabila dia sering melakukan hantaran yang berjaya mengelirukan benteng pertahanan lawan.
3. Declan Lambert
Selain Ryan Lambert, terdapat seorang lagi pemain berdarah kacukan yang mempunyai kemampuan untuk menyumbangkan kelebihan kepada pasukan KPG dalam skuad kebangsaan.
Declan Lambert merupakan kembar kepada Ryan yang juga sebelum ini bersama-sama mencari pasukan yang sesuai untuk memulakan karier bola sepak mereka.
Namun, Declan masih baharu dalam pasukan itu berbanding kembarnya apabila dia menyertai pasukan tersebut pada jendela perpindahan Januari lalu daripada pasukan Belanda, FC Den Bosch.
Walaubagaimanapun, perkara itu tidak menjejaskan peluangnya bersama KL City FC dengan melihat sumbangan dan peluangnya dalam saingan Liga Super dan di pentas Asia.
Declan Lambert ketika beraksi dalam Piala Asia 2023 bersama KL City FC. — Instagram/Declan Lambert
Meskipun pasukan itu telah dibolosi sebanyak 27 kali dalam liga musim ini, kepercayaan masih diberikan Bojan Hodak setelah memberikannya peluang untuk beraksi dalam kesemua perlawanan musim ini.
Selain itu, Declan juga mempunyai kebolehan untuk beraksi di bahagian kiri dan kanan pertahanan selain pernah memulakan perlawanan sebagai pemain pertahanan tengah.
Keupayaan ini pastinya diminati KPG apabila kehadiran Declan boleh mengisi slot selain membolehkan pengendali pasukan itu untuk mencari pendekatan yang lebih berwarna-warni di atas padang.
Persoalannya, adakah dia akan diberikan peluang apabila KPG masih memilih pemain PJ City FC, K. Ruventhiran yang pernah dipanggil pengendali Korea Selatan itu pernah memanggilnya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2023?
4. Stuart Wilkin
Kemampuan JDT untuk melahirkan pemain-pemain muda berbakat sememangnya tidak boleh disangkal apabila mereka mempunyai fasiliti dan kemudahan latihan yang bertaraf dunia.
Antaranya, pemain muda, Arif Aiman Hanapi dan Daryl Sham mula mendapat perhatian media dan peminat bola sepak apabila kematangan yang ditunjukkan di atas padang sukar untuk dipandang rendah.
Namun, di sebalik bintang yang bersinar itu, terdapat juga beberapa pemain muda yang layak diberi perhatian meskipun tidak beraksi dengan kerap dan di tahap yang terbaik.
Antaranya, pemain yang dipinjamkan ke Sabah FC, Stuart Wilkin yang boleh bermain sebagai seorang penyerang meskipun lebih sesuai sebagai pemain tengah menyerang.
Wilkin dipinjamkan ke Sabah FC bagi mendapatkan minit permainan. — Instagram/Stuart Wilkin
Walaupun hanya berjaya menjaringkan satu gol liga setakat ini, potensi yang dimiliki Wilkin tidak boleh dipandang remeh apabila dia masih berusia 24 tahun.
Selain itu, pemain yang pernah beraksi dalam pasukan Southampton B-18 mempunyai kebolehan untuk menyumbangkan pengalaman kepada pasukan kendalian KPG itu.
Tidak cukup dengan itu, KPG juga pasti akan tertarik dengan kebolehan Wilkin yang juga mempunyai kebolehan untuk bermain di posisi tengah menyerang.
Perkara ini pasti dihargai ketua jurulatih itu yang melihat ciri menarik itu akan menambah dimensi serangan buat pasukan dalam saingan Piala Raja Thailand kelak.
Namun, prestasi yang kurang memberangsangkan pasti akan menimbulkan tanda tanya buat KPG untuk membawa pemain berdarah kacukan England-Malaysia ini ke dalam skuad kebangsaan nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram