TINDAKAN jurulatih pasukan beregu wanita Indonesia yang menggelar pasangan negara sebagai 'hitam dan putih' pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis baru-baru ini dikecam warganet.
Insiden itu berlaku ketika jurulatih Eng Hian menggunakan warna kulit sebagai gelaran bagi merujuk kepada beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah pada pusingan kedua kejohanan tersebut.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku ketika pemain sedang berehat dan mendapatkan nasihat permainan daripada jurulatih masing-masing sebelum kembali ke gelanggang.
Dikongsikan di laman Twitter, netizen mendakwa ia merupakan satu penghinaan dan isu perkauman kepada pasangan negara.
Berdasarkan video tersebut, gelaran 'hitam dan putih' yang dimaksudkan jelas ditujukan kepada pasangan negara dan ia sekali gus menumbulkan kemarahan di laman media.
Rata-ratanya mendesak jurulatih terbabit untuk tampil dengan permohonan maaf berkaitan isu tersebut.
“Kenapa nak guna warna kulit untuk panggil mereka, Pearly Tan dan M Thinaah bukan pertama kali bermain mustahil jurulatih itu tidak kenal pasangan kita,” kata nurnadhilah.
“Isu warna kulit merupakan perkara sensitif, jangan dibuat main hal perkauman dalam negara kita, jurulatih itu perlu meminta maaf secara terbuka,” jelas Afiq Ahmad.
“Rasis, suka hati panggil orang hitam putih macam la pasangan beregu kita jarang bermain dalam kejohanan besar, memang sengaja nak menghina,” tambah mayirahawaa.
Dalam pada itu, terbaharu Eng Hian telah membuat permohonan maaf secara terbuka atas dakwaan isu perkauman yang dilakukan.
Video itu dikongsikan di laman Twitter dan difahamkan jurulatih tersebut tiada niat untuk menghina ataupun menyinggung hati mana-mana pihak.
Perlawanan itu tamat dengan kemenangan 'straight set' berpihak kepada pasangan beregu negara dengan mata 21-16, 21-14. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram